ALOR SETAR – Bagi mereka yang berminat dengan aktiviti mendaki, pastikan Gunung Keriang termasuk dalam senarai program jika berkunjung ke Alor Setar.
Hanya terletak 10 kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah yang terkenal dengan jolokan Jelapang Padi Malaysia, percayalah sebaik sampai di puncak, mereka akan jatuh cinta kali pertama dengan panorama hamparan sawah padi yang saujana mata memandang.
Apatah lagi untuk ke sampai ke puncak, ia hanya mengambil tempoh mendaki dalam tempoh sejam bagi mereka yang memiliki stamina cukup.
Bagi yang ingin mengenali Gunung Keriang, ia merupakan gunung batu kapur yang tersergam dikelilingi oleh sawah padi dan setinggi 217.92 meter sahaja.
Gunung ini berbentuk seperti kapal yang terbalik kononnya sebuah kapal yang membawa pengantin telah disumpah oleh Sang Kelembai.
Di sebalik misteri dan mitos, Gunung Keriang juga mempunyai beberapa tarikan kepada pengunjung. Di samping baja tahi kelawar dan batu kristal, gunung ini juga memiliki beberapa guanya menjadi salah satu daya tarikan.
Penjelajahan bersama jurutunjuk tempatan yang memang mahir mengenai selok belok di dalam gua tersebut bakal memberi pengalaman baharu.
Ini kerana pelbagai bentuk batu hasil dari stalaktit dan stalagmit dapat dilihat di samping dapat mencari batu kristal di dalam gua ini yang memberi rasa kagum di lokasi itu yang penuh dengan dengan khazanah alam.
Dengan pelbagai keunikan itu, tidak hairanlah Gunung Keriang telah menjadi salah satu tarikan pelancong apatah lagi Kerajaan Kedah telah mewartakan gunung itu sebagai kawasan pelancongan negara.
Jadi, apa kata sesekali datang ke Alor Setar, tenangkan minda dan manjakan diri serta beriadah di Gunung Keriang yang pasti akan memberikan pengalaman yang luar biasa tanpa perlu berbelanja besar.
Malah jalan masuk untuk kaki gunung turut membuatkan pengunjung seolah-olah kembali ke kampung’ apabila segalanya bersatu dengan ketenangan, keindahan pokok-pokok yang meredupi dan kesejukan angin dari sawah padi yang terbentang luas sambil menikmati alam semula jadi.
Gunung Keriang kini bukan sahaja menjadikan ia mercu tanda yang cukup mudah dikenali dan tersergam indah di Alor Setar malah masyhur dengan nilai khazanahnya termasuk baja guano hasil tahi kelawar. – MalaysiaGazette