Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 SEPTEMBER 2022. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan bagi 47 pertuduhan dana Yayasan Akal Budi melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah digugurkan daripada kes itu minggu lepas.

MalaysiaGazette difahamkan, Raja Rozela digugurkan tanpa sebarang pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

Raja Rozela yang dihubungi oleh media berkata, sebagai penjawat awam beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Raja Rozela mengetuai kes Ahmad Zahid yang sedang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, akhbar The New Straits Times melaporkan bahawa perbicaraan yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadi, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika membela diri pada 22 Mei tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi, baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast