GEORGE TOWN – Polis mengesahkan wujud unsur pertaruhan membabitkan kemenangan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin bagaimanapun menegaskan, pertaruhan itu bukan membabitkan sindiket, sebaliknya sekumpulan kecil yang bertaruh sesama sendiri untuk menentukan kemenangan beberapa calon bertanding.
Kata beliau, menerusi pemantauan, tiada sindiket dikesan mempengaruhi PRN di negeri ini setakat ini.
“Berdasarkan pemantauan kita memang ada kesan unsur perjudian dalam pilihan raya kali ini namun ia bukan membabitkan sindiket.
“Ada pun dalam skala kecil yang bertaruh sesama sendiri membabitkan beberapa kerusi dengan memilih siapa calon yang akan kalah dan menang dalam PRN15 ini.
“Buat masa ini, pihak polis masih melakukan pemantauan berhubung perkara tersebut dan kita akan lakukan tangkapan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kok Chin meninjau Pusat Mengundi awal membabitkan pegawai kanan dan pegawai rendah Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom.
Secara keseluruhan seramai 6,451 pegawai dan anggota Polis Pinang melaksanakan undi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK dan lima Ibu Pejabat Polis Daerah Pulau Pinang.
Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dibuka serentak bermula jam 8 pagi tadi.
Dalam perkembangan lain, Kok Chin berkata, bermula daripada penamaan calon hingga malam tadi tiada insiden yang boleh mendatangkan kegusaran awam dilaporkan berlaku.
“Kebanyakan kes yang laporkan juga lebih kepada khianat serta rosakkan bendera atau poster parti.
“Selain itu, bagi dua kawasan panas yang dikesan sebelum ini juga kita dapati semua urusan pilihanraya berjalan dengan lancar sekali gus tiada keperluan untuk kita tambah anggota di kawasan tersebut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette