KEPALA BATAS – Dua lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit akibat tersepit susulan kereta dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Jalan Lubuk Meriang di sini, awal pagi tadi.
Kejadian jam 2.25 itu mengakibat Mohd Saiful Abdullah,31, cedera di bahagian kaki manakala Muhammad Khairul Adli Abdul Mutalib,30, patah tangan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.30 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba kita dapati sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai terbabas manakala pemandu serta penumpang tersepit dalam kenderaan itu.
“Kita melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit itu menggunakan peralatan khas.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.01 pagi dan ada yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki serta patah tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah jurucakap itu, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan kes diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette