SPRM mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. - Foto SPRM

KUALA LUMPUR- Menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin nafi melarikan diri daripada undang-undang.

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan menerusi kenyataan yang dikeluarkan peguamnya hari ini berkata, beliau akan pulang ke Malaysia bagi membantu sebarang siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) asalkan ia tidak mengandungi unsur-unsur ancaman atau penganiayaan.

“Anak guam kami memiliki hak sama seperti rakyat Malaysia yang lain iaitu bebas untuk bergerak dan mengembara termasuk ke luar negara, apatah lagi untuk menjalankan perniagaan ke seluruh pelosok dunia,” kata peguam Baljit Singh Sidhu.

Tegasnya, hak Muhamad Adlan sebagai rakyat Malaysia itu tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai lari daripada undang-undang atau cuba menghindari atau melengahkan siasatan.

Tambah Baljit, anak guamnya tidak pernah ditahan atau dipanggil SPRM untuk menghadiri sebarang pertemuan atau membantu siasatan suruhanjaya itu sebelum meninggalkan negara ini.

Katanya, Muhammad Adlan ada dihubungi seorang pegawai SPRM dan beliau telah memberi maklum balas menerusi sepucuk surat bertarikh 3 Jun lalu untuk memaklumkan akan keluar negara bagi tujuan perniagaan.

Beliau turut memberikan tarikh tentatif kepulangannya ke negara ini menerusi surat berkenaan.

Bagaimanapun menurut Baljit, anak guamnya tidak menerima sebarang maklum balas daripada SPRM berhubung surat tersebut.

Tambahnya, menerusi surat berkenaan, Muhammad Adlan turut menyatakan perkara luar biasa mengenai cara SPRM mengendalikan kes tersebut, termasuk membekukan akaun beliau dan syarikatnya tanpa sebarang notis atau sebab.

Baljit turut mendakwa Muhammad Adlan telah diancam serta diganggu oleh pegawai-pegawai SPRM.

Beliau sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya, ahli perniagaan berusia 48 tahun itu tidak dapat dihubungi.

Pagi tadi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya percaya Muhammad Adlan bersama seorang lagi individu, peguam Mansoor Saat telah melarikan diri ke luar negara selepas agensi itu meletakkan mereka di dalam senarai orang dikehendaki.

Kedua-duanya diminta membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.-MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN

Menantu Muhyiddin sudah lari ke luar negara-SPRM