Rahimah.

TELUK KUMBAR – “Dominic (Datuk Dominic Lau Hoe Chai) tak beli saya dengan duit, apa yang didedahkan kepada umum menerusi video itu memang hakikat kehidupan saya,” kata seorang warga emas yang ingin dikenali sebagai Rahimah.

Menurut wanita berusia 69 tahun itu, pendedahannya hidup tanpa bekalan air bersih dan harapkan elektrik dari rumah jiran sejak berbelas tahun bukan untuk menjatuhkan mana-mana ahli politik ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Katanya, pelbagai reaksi diterima selepas video tersebut tular termasuk kecaman daripada orang terdekat kononnya dia sengaja menggembar-gemburkan kehidupannya demi menagih simpati.

“Ini bukan soal musim pilihan raya baru keluar cerita macam ini, memang mak cik hidup guna air telaga dan tiada elektrik sendiri. Buat apa mak cik nak tipu?

“Kalau nak kata video itu tipu atau buka aib keluarga pun saya tak setuju.. dia (Dominic) mai berdepan (datang bersemuka). Kalau dia nak menipu, dia akan ambil kesempatan tanpa pengetahuan tuan rumah tapi apa yang ada dalam video itu semua memang mak cik cakap.

“Cuma apa mak cik tak sangka kisah ini akan jadi bahan kempen mana-mana ahli politik. Buat apa nak gaduh pasal mak cik? Sapa-sapa jadi wakil rakyat pun sama sahaja, mak cik hidup macam ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Batu di sini hari ini.

Rahimah menggunakan air telaga untuk kehidupan sehariannya.

Tambah Rahimah, susulan video itu, ada pihak berjumpa dengan anaknya dan meminta keluarga mengambil tindakan saman terhadap Dominic kononnya mengaibkan serta menjatuhkan maruah keluarga mereka.

“Memang anak mak cik marah kenapa dedahkan kehidupan seharian tapi mak cik jelaskan ia bukan rekaan dan kenyataan itu daripada mak cik sendiri.

“Buat apa kami nak saman? Kami bukan orang berduit, lebih baik duit itu saya gunakan sebagai deposit masukan meter air dan elektrik,” katanya.

Mengulas mengenai status tanah rumah yang didiaminya dan apa punca tiada bekalan air serta elektrik, Rahimah mendakwa ia merupakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) dan kos pemasangan meter agak mahal membuatkan dia tidak mampu untuk pembiayaan tersebut.

“Mak cik tinggal di sini dengan cucu lelaki berusia 25 tahun. Anak-anak memang membantu namun masing-masing sudah mempunyai keluarga jadi saya tak mahu susahkan mereka.

“Saya sudah biasa hidup macam ini dan ia bukan soal anak-anak tak ambil peduli malah ikutkan dulu saya tinggal dalam pondok sahaja tapi tujuh tahun lepas ada peruntukan membina sebuah rumah yang lebih selesa untuk saya daripada Datuk Seri Najib Razak.

“Kalau ikutkan bantuan makanan, alhamdulillah tak putus-putus dan saya juga masih menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meneruskan sisa- hidup ini,” katanya sebak.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi lebih tiga minit yang dimuat naik calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Datuk Dominic yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang sudah 15 memerintah namun masih ada rakyat yang menggunakan air telaga untuk kegunaan harian.

Difahamkan, video itu diambil pasukan Presiden Gerakan itu ketika beliau melakukan walkabout di sekitar perkampungan Sungai Batu pada Isnin lalu.

Video itu bagaimanapun mendapat kecaman kononnya Dominic menjadikan seorang warga emas untuk melakukan serangan politik bagi meraih undi ketika musim PRN. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. makcik itu ada rekodnya d MPKK, pjbt zakat & pjabat kbajikan. kes bgini lbih kpd salah faham sekluarga ank ibu & waris. krajaan pusat yg ptut gubal sistem kbajikan yg kmskini nukan lagi isu politik bahkan osu kluarga muslim boleh d rujuk ke pindaan kuasa jakim

  2. Masalah jentera kerajaan negeri dan persekutuan perlu dirombak utk membolehkan staf kerajaan ini berfungsi dgn baik. Carta aliran tugasan perlulah menyeluruh hingga miskin tegar yg dibantu boleh keluar dari garis kemiskinan. sekiranya gagal hendaklah dimasuk ke Institusi Pemulihan utk dilatih dan disusun pelan pemulihan hingga berimpak kekal kpd individu atau keluarga.

Comments are closed.