Timbalan Perdana Menteri yang juda Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pada Karnival Kerjaya MADANI bersama HAWA Malaysia - Perkasa Wanita & Keluarga di Dewan Serbaguna Orang Asli Batu 12, Gombak, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS 2023.

GOMBAK – Karnival Kerjaya Madani bertemakan ‘Perkasa Wanita & Keluarga’ khas untuk masyarakat Orang Asli adalah antara manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memacu pembangunan sosioekonomi melalui penyediaan peluang pekerjaan, sekali gus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Ia juga merupakan inisiatif Kementerian Sumber Manusia melalui agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama HAWA Malaysia, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu juga menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan melalui 10 majikan yang mengambil bahagian.

Inisiatif yang sedang yang berlangsung ini turut melibatkan program utama iaitu Karnival Kerjaya MYFutureJobs yang mana kerajaan turut menawarkan peluang pekerjaan kepada belia Orang Asli yang berpeluang memilih untuk menghadiri temu duga dengan majikan daripada pelbagai industri dan sektor.

“Usaha penganjuran program sebegini diyakini mampu mengurangkan kadar pengangguran dan mengukuhkan pasaran buruh negara.

“Karnival kali ini adalah antara usaha libat urus kerajaan untuk memperluaskan platform kepada masyarakat Orang Asli mendapatkan perkhidmatan kebolehpasaran, profiling, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan sekali gus mengatasi kadar pengangguran.

“Majikan yang mengambil calon pekerja dalam kalangan Orang Asli boleh memanfaatkan rangkaian program disediakan menerusi Insentif Kerjaya MADANI 2023, termasuk menerima sehingga RM1,800 untuk tempoh tiga bulan bagi seorang pekerja yang digajikan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada majlis perasmian program itu di di Dewan Serbaguna Jakoa Batu 12, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Azman Aziz Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKAO), Sapiah Mohd Nor.

Karnival ini juga mengetengahkan kerjasama strategik antara PERKESO dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta industri seperti SME Malaysia, Microsoft dan Biji-biji untuk menyediakan peluang pekerjaan bersesuaian dalam kalangan Orang Asli.

Bagi tempoh 2022 sehingga Julai 2023, PERKESO merekodkan seramai 352 Orang Asli berjaya ditempatkan pekerjaan melalui penganjuran program temu duga khas di seluruh negara.

Sehingga 21 Julai 2023, portal MYFutureJobs berjaya membantu 884,688 pencari pekerjaan untuk ditempatkan di pelbagai sektor dan 213,077 daripadanya adalah dari Selangor. – MalaysiaGazette