Majlis MoU disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar itu merupakan peristiwa penting yang membuka ruang kepada jalinan hubungan yang lebih kukuh dengan Program Fulbright yang berprestij dan sistem pendidikan tinggi AS. - Gambar FB KPT.

PUTRAJAYA – Buat julung kalinya Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) telah memeterai 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan lagi kerjasama dan peluang pertukaran akademik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

MoU itu dibuat bersama universiti-universiti awam dan swasta Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak.

Majlis MoU disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar itu merupakan peristiwa penting yang membuka ruang kepada jalinan hubungan yang lebih kukuh dengan Program Fulbright yang berprestij dan sistem pendidikan tinggi AS.

Turut hadir Pegawai Diplomasi Awam, Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Nurit Einik.

Pengarah Eksekutif MACEE, Curtis Johnson berkata, pemeteraian persefahaman itu menggambarkan usaha bersepadu dalam memperkasa hubungan antara Malaysia dan Program Fulbright serta memperkukuhkan sejarah pertukaran pendidikan dan budaya antara kedua-dua negara.

“Ditubuhkan pada 28 Januari 1963, MACEE telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesalinghubungan global terutamanya dalam memudah cara program pertukaran Fulbright.

“Sempena ulang tahun penubuhan MACEE yang ke-60, pemeteraian siri pertama MoU ini adalah petanda bahawa universiti-universiti Malaysia sedang membuat pelaburan dalam meningkatkan hubungan global khususnya dengan AS.

“Melalui kerjasama ini, saya harap kita dapat memperkasakan generasi akan datang dari kalangan pelajar dan cendikiawan di Malaysia dan Amerika untuk menerima ‘Diplomasi Pendidikan’ dan terus memupuk persefahaman yang lebih erat antara kedua-dua negara melalui kecemerlangan akademik,” kata Johnson.

MoU ditandatangani bersama Universiti Malaya, University Malaysia Sarawak (UNIMAS), University Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Turut memeterainya University Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Multimedia (MMU), Universiti UCSI, Universiti Nilai, INTI International University dan Southern University College.

Johnson menambah, MoU itu juga menandakan komitmen bersama antara MACEE dan universiti-universiti di Malaysia untuk mewujudkan peluang pendidikan yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan ahli akademik di kedua belah pihak.

“MoU ini dijangka akan menjadi permulaan kepada siri-siri inisiatif kerjasama yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan dan saya juga menjangkakan perkongsian ini akan mewujudkan hubungan akademik dan budaya yang berkekalan yang akan memperkayakan landskap pendidikan di kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, perkongsian ini merupakan penghubung antara Malaysia dan AS sekaligus mengukuhkan program Fulbright sebagai salah satu program pertukaran terulung di Malaysia sejak 60 tahun lalu dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar/sarjana, dan pertukaran budaya.

“Dengan memecahkan tembok-tembok halangan dan membuka pintu-pintu peluang, kita berhasrat untuk memperkasakan anak-anak muda kita yang terpelajar ini dengan bekalan yang mereka perlukan untuk membentuk hari esok yang lebih cerah,” tambahnya. – MalaysiaGazette