Pensyarah Jabatan Geologi Fakulti Sains, Prof. Dr. Azman Abdul Ghani menunjukkan kaedah ringkas perlombongan REE.- Foto WAN NABIL NASIR, 07 OGOS 2023.

BARU-BARU ini negara dikejutkan wujudnya kegiatan perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) yang didakwa berlaku di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.

REE yang mengandungi 17 unsur penting dan amat diperlukan dalam pembuatan pelbagai peralatan mempunyai harga serta permintaan yang tinggi di pasaran.

Justeru tidak hairan jika terdapat pihak melakukan perlombongan secara haram bagi mencuri logam tersebut.

Mungkin ramai yang menggambarkan untuk melombong REE yang turut mengandungi unsur radioaktif seperti uranium dan thorium memerlukan jentera berat dan peralatan canggih. Namun hakikatnya tidak.

Tanam paip curah kimia dapat REE

Selepas kejadian pencemaran sisa radioaktif di Bukit Merah, Perak kilang pemprosesan REE di kawasan itu telah dihentikan pada 1990-an.

Sejak sedekad lalu negara mula meneroka kaedah perlombongan REE yang lebih selamat dan lebih mesra alam sekitar iaitu kaedah larut resap insitu (ISL).

Kawasan perlombongan haram REE yang didakwa berlaku di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Perlombongan REE melalui kaedah ISL dan penggunaan ammonium sulfat dikatakan paling selamat berdasarkan pengalaman negara China.

Sebelum ini negara tersebut menggunakan asid kuat berkepekatan pH 1 bagi mengekstrak unsur nadi bumi namun telah menyebabkan pencemaran teruk di kawasan perlombongan di Jiangxi, Guangdong dan Fujian.

Projek perlombongan rintis pertama negara yang terletak di Kenering, Perak didirikan dengan mengikut Garis Panduan NR-REE yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Geologi Universiti Malaya Prof Dr. Azman Abdul Ghani, Semenanjung Malaysia mempunyai kelebihan dalam kaedah perlombongan REE menggunakan kaedah ISL.

Ini kerana hampir 60 peratus dari geologi Semenanjung Malaysia dibentuk oleh batuan granit. Cuaca panas dan lembab dalam iklim tropika mempercepatkan proses perluluhawaan batuan granit.

Melalui proses ini, unsur REE di dalam batuan granit akan terurai dan dijerap pada permukaan mineral lempung dalam bentuk ion, kemudiannya membentuk deposit REE jenis jerapan ion.

Temubual bersama Pensyarah Jabatan Geologi Fakulti Sains, Prof. Dr. Azman mengenai Rare Earth Elements (REE) di Muzium Geologi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 OGOS 2023.

Menurut Azman, perlombongan REE mengunakan kaedah ISL amat ringkas dan mudah iaitu dengan hanya menanam batang-batang paip ke dalam tanah pada kedalaman 5 hingga 10 meter di kawasan berbukit yang dikesan mempunyai unsur REE.

BACA: REE memang ada unsur uranium, thorium beradiasi – Penyelidik

BACA: SAM bimbang Dasar Mineral Negara pentingkan keuntungan

Melalui proses pelarut resap ammonium sulfat, ion-ion REE sulfat yang terjerap di dalam lempung akan dikumpulkan melalui lubang-lubang sistem paip mendatar yang dibina dan disalirkan kepada tangki mendakan.

Tanah liat yang mengandungi REE terkumpul di satu tempat dan kemudian akan dikutip dan dikeringkan.

“Bahan mentah ini nanti akan di hantar ke negara China untuk proses pengasingan bagi setiap logam REE.

“Ini kerana hanya negara China mempunyai kepakaran dan fasiliti untuk mengasingkan setiap unsur REE. Malaysia tidak ada kepakaran dan kemudahan,” jelas beliau.

Selepas diproses barulah 17 logam berharga iaitu lanthanum, cerium, praseodymium, neodymium, promethium, samarium, europium, gadolinium, terbium, dysprosium, holmium, erbium, thulium, ytterbium, lutetium, scandium dan yttrium dapat diasingkan.

Pusat pengumpulan REE yang dilombong secara haram di sebuah negeri di utara Semenanjunng Malaysia.

Beliau yang terlibat dalam kajian REE sejak 26 tahun lalu berkata, kesihatan manusia dan alam sekitar boleh terancam sekiranya perlombongan REE tidak mengikut garis panduan dan dilakukan secara haram.

“Bagi saya perlombongan ini selamat. Ini kerana kita masukkan ‘baja’ (ammonium sulfat). Tetapi kalau dalam kuantiti yang banyak dan ada sungai berdekatan dikhuatiri mencemarkan sungai. Jadi ia tidak sihat.

“Oleh kerana itu jika hendak menjadikan satu-satu kawasan sebagai tempat perlombongan kita perlu jauh daripada sumber air dan penempatan manusia,” tegas beliau.

Pengalaman perlombongan REE di selatan China wajar dijadikan panduan apabila kawasan hutan yang mempunyai simpanan REE ditebang dengan sewenang-wenangnya menyebabkan tanah terdedah kepada air hujan dan mengakibatkan hakisan yang teruk.

Perlombongan yang dilakukan dekat dengan tadahan dan punca air juga akan menyebabkan pencemaran hingga menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

Perlombongan haram REE boleh mencetuskan bencana ke atas manusia dan alam sekitar kerana tidak mengikut SOP.

Azman turut melahirkan kebimbangan kerana bahan yang telah dilombong mudah untuk diseludup keluar oleh sindiket haram.

Ini kerana logam yang masih lagi bercampur dalam tanah liat kelihatan seperti bahan tidak berharga dan dibungkus dalam guni biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Terkejut REE diseludup keluar dibungkus pakai guni biasa

Sementara itu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr. Shahrul Nizam Ahmad turut bersetuju penggunaan ammonium sulfat dalam pelombongan REE adalah selamat.

“Ammonium sulfat ini secara umum sangat selamat. Kerana ini hanya garam biasa dan ia adalah larut dalam air. Bergantung kepada kepekatan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Kalau setakat yang dibenarkan tidak ada masalah.

“Setiap bahan kimia ada safety data sheet. Contoh adakah ia terlalu beralkali atau berasid, kita boleh buang ke dalam air atau tidak? Benda-benda seperti ini kena tahu,” kata beliau.

Temubual bersama Pensyarah Kanan Kimia dan Alam Sekitar, Dr. Shahrul Nizam Ahmad di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 08 OGOS 2023.

Shahrul Nizam turut menegaskan, walaupun REE mempunyai unsur uranium dan thorium yang beradiasi lemah, pelombong unsur nadi bumi wajib mengikut garis panduan yang ketat daripada pihak berkuasa.

Bahan berkenaan perlu dikendalikan dengan selamat seperti pembungkusan dan kaedah penghantaran yang harus mengikut piawaian.

“Kita risau sebab bahan radioaktif boleh bocor keluar. Biasa pakar radiasi yang akan turut serta,” jelasnya yang terkejut dengan laporan berita yang mendakwa hasil perlombongan haram REE hanya dibungkus di dalam guni untuk dibawa keluar daripada Malaysia.

Azman dan Shahrul Nizam sependapat bahawa untuk membuka kawasan perlombongan REE memerlukan prosedur operasi standard yang ketat termasuk kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan laporan penilaian impak radiologi (RIA).

Kedua-duanya tidak mahu kejadian yang berlaku di China seperti hakisan tanah, pencemaran punca air bawah tanah serta kesihatan penduduk berulang di Malaysia.

Kerajaan melalui Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 menganggarkan nilai sumber nadir bumi negara adalah sekitar RM800 bilion.

Sebanyak 29 kawasan dikesan mempunyai simpanan REE yang terletak di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sarawak.-MalaysiaGazette