Pensyarah Jabatan Geologi Fakulti Sains, Prof. Dr. Azman menunjukkan batu granit dan tanah granit yang mempunyai unsur Rare Earth Elements (REE) di Muzium Geologi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 OGOS 2023.

“LANTHANUM, cerium, praseodymium, neodymium, promethium, samarium, europium, gadolinium, terbium, dysprosium, holmium, erbium, thulium, ytterbium, lutetium, scandium, yttrium”.

Kedengaran seperti ayat sihir yang dibacakan dalam filem fiksyen Harry Potter bagaimanapun semua itu adalah nama untuk 17 logam utama unsur nadir bumi (REE) yang menjadi rebutan dunia.

Setiap satu daripada logam itu digunakan dalam hampir semua pembuatan peralatan komunikasi, hiburan, ketenteraan hinggalah senjata.

Logam REE yang digunakan dalam pembuatan kenderaan hibrit dan telefon.

Neodymium, samarium, dysprosium dan terbium misalnya digunakan bagi pembuatan magnet kekal padat dan kuat untuk kawalan motor elektrik dan akuator dalam peluru berpandu, bom pintar dan pesawat tanpa pemandu.

Yttrium, europium dan terbium pula digunakan sebagai penguatan tenaga dan resolusi peralatan laser ketenteraan

Neodymium juga banyak digunakan dalam pembuatan magnet berkuasa yang terdapat dalam pelbagai jenis produk telekomunikasi seperti headphone, pemacu keras komputer hinggalah turbin angin dan kenderaan elektrik.

Europium pula sebagai salutan pendarfluor pada skrin televisyen, komputer dan telefon.

BACA: REE senang dilombong secara haram, mudah dicuri

BACA: SAM bimbang Dasar Mineral Negara pentingkan keuntungan

Dalam sebuah kereta hibrid generator dan elektrik  banyak unsur seperti praseodymium, dysprosium dan terbium digunakan manakala pembuatan bateri boleh cas semula menggunakan logam lanthanum dan cerium.

Keluarga besar unsur nadir bumi.

Penggunaan yang meluas dengan bahan yang terhad menyebabkan setiap logam REE bernilai tinggi.

Terbium misalnya boleh dijual sehingga RM2.5 juta bagi setiap tan metrik (MT) dan dysprosium (RM1.1 juta).

Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 menganggarkan nilai sumber nadir bumi negara adalah sekitar RM800 bilion.

Sudah tentu setiap yang bernilai datang dengan risiko yang besar begitu juga dengan REE yang dikatakan mengandungi unsur radioaktif seperti uranium dan thorium.

Ia juga menjadi sasaran sindiket melombong bahan ini secara haram tanpa menghiraukan kesan ke atas manusia dan alam sekitar.

Pencemaran di kawasan perlombongan haram REE di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Tragedi perlombongan REE

Mungkin ramai yang menggambarkan REE seolah-olah satu objek berbentuk pejal seperti timah, emas dan tembaga. Pada hakikatnya REE adalah unsur sebatian yang terlerai dan terpisah seperti debu dan pasir.

Hanya dengan proses kimia mengunakan makmal dan fasiliti yang canggih serta selamat logam-logam ini boleh diasingkan untuk diguna dalam pembuatan barangan.

Menurut Pensyarah di Jabatan Geologi Fakulti Sains Universiti Malaya Prof Dr. Azman Abdul Ghani terdapat dua sumber REE di Malaysia.

Pertama daripada batuan dan tanah yang terhasil dari luluhawa batuan granit. Batuan granit membentuk 60 peratus dari Semenanjung Malaysia dan banyak menghasilkan tanah dari proses luluhawa.

Sumber kedua daripada sisa bijih timah yang dikenali sebagai amang seperti yang pernah dilombong di kawasan Lembah Kinta dan Lembah Kelang.

Bahan ini masih banyak di kawasan-bekas lombong bijih timah yang pernah menjadi eksport utama negara satu ketika dahulu.

Temubual bersama Pensyarah Jabatan Geologi Fakulti Sains, Prof. Dr. Azman Abdul Ghani mengenai Rare Earth Elements (REE) di Muzium Geologi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 OGOS 2023.

Setiap kali perlombongan REE dibincang, kejadian pencemaran sisa radioaktif di Bukit Merah, akan terlintas dalam fikiran orang ramai.

Dalam kejadian di Bukit Merah sisa radioaktif dilupuskan secara haram ke bandar berhampiran dan ini menyebabkan pencemarah bahan radioaktif ke alam sekitar.

Kejadian ini menyebabkan 7 orang maut dan pelbagai kecacatan akibat dari proses radiasi.

“Bekas lombong timah di pantai barat masih banyak amang ini. (Dahulu) amang ini kita buang begitu sahaja (selepas timah dilombong). Dalam amang terdapat mineral seperti zircon dan monazite yang banyak mengandungi unsur REE.

“Kedua-dua mineral ini mengandungi sehingga 70 peratus unsur REE. Dalam zircon dan monazite juga ada unsur radioaktif seperti Uranium dan Thorium.

“Jadi usaha untuk mengeluarkan unsur REE dari amang akan juga membebaskan unsur unsur Uranium dan Thorium tersebut,” katanya yang membuat penyelidikan REE sejak 28 tahun lalu.

Pensyarah Jabatan Geologi Fakulti Sains, Prof. Dr. Azman Abdul Ghani menunjukkan batu granit (kanan) dan tanah granit (kiri) yang mempunyai unsur Rare Earth Elements (REE) di Muzium Geologi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 OGOS 2023.

Tambah beliau, sekarang ini perlombongan REE di Malaysia lebih ditumpukan kepada tanah yang terhasil dari luluhawa batuan granit.

Perlombongan jenis ini lebih selamat kepada persekitaran dan masyarakat sekeliling.

Azman berkata, REE dibahagi kepada dua kumpulan mengikut berat logam itu iaitu ringan (LREE) serta berat (HREE) dan logam ini mengambil masa ribuan tahun untuk dihasilkan

Pencemaran radiasi

Seperti yang dikatakan, kebimbangan masyarakat mengenai perlombongan REE adalah mengenai sama ada logam yang dilombong bersifat radioaktif hingga boleh menyebabkan pelbagai penyakit terutama kanser seperti yang berlaku di Bukit Merah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Shahrul Nizam Ahmad menjelaskan daripada 17 logam REE promethium merupakan unsur yang mempunyai bacaan radiasi paling tinggi.

Namun walaupun bacaan radiasi pada promethium adalah tertinggi berbanding lain ia tidak memberikan ancaman radiologi kerana berada pada kadar amat lemah.

Dr Shahrul Nizam Ahmad menujukkan carta logam-logam unsur nadir bumi.. Foto MUHD NA’IM, 08 OGOS 2023.

“Radioaktif ini secara umum ada pada semua bahan dan kita lihat berapa banyak nilai dia. Buah pisang pun menggeluarkan radiasi tapi tak bahaya.

“Walau bagaimanapun promethium ini bukan apabila dikorek dari dalam tanah terus ada radiasi. Ia perlu menjalani proses nuclear fusion sebelum menjadi radioaktif,” jelas beliau.

Shahrul Nizam tidak menafikan REE sama ada di luar negara mahupun di Malaysia mempunyai unsur uranium dan thorium yang bersifat radioaktif dan beradiasi.

Jelas beliau, secara umum logam REE tidak akan dijumpai secara ‘sendirian’ tetapi bergabung dengan unsur lain.

“Radiasi boleh ada dengan unsur lain tambahan logam ‘suka’ bercantum dengan uranium. Bila kita lombong bahan ini tak akan hanya dapat ‘sirium-sirium’ sahaja tetapi mungkin akan ditemui bergabung dengan unsur lain termask uranium dan thorium untuk menjadi stabil.

“Semua unsur dalam bumi tidak stabil jika ‘berdiri’ sendiri umpama orang yang hidup bersendirian emosinya kurang stabil berbanding orang yang berpasangan,” terang beliau memberi analogi.

Temubual bersama Pensyarah Senior Kimia dan Alam Sekitar, Dr. Shahrul Nizam Ahmad di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 08 OGOS 2023.

Bagaimanapun katanya, sama ada unsur radioaktif ini bahaya atau tidak bergantung kepada berapa banyak jumlah yang dilombong. Semakin besar dan luas kawasan perlombongan kemungkinan lebih banyak radiasi yang akan terdedah.

Katanya, ujikaji perlu dilakukan dengan teliti untuk mengetahui kadar uranium atau thorium dan ada cara pengiraan yang hanya boleh dilakukan oleh pakar geokimia dan pakar geologi.

Azhar dan Shahrul Nizam mempunyai pandangan yang sama bahawa untuk membuka kawasan perlombongan REE memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,

Ini termasuk penyediaan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan laporan penilaian impak radiologi (RIA) daripada pihak berkuasa berkaitan.

Mereka turut mempunyai pandangan yang sama bahawa perlombongan haram REE boleh mengancam kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette