Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang turut melibatkan perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Menurut Perdana Menteri, di bawah kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) industri mineral dijangka menyumbang RM9.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan.

Anwar berkata, Dasar Mineral Negara berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.

Perlombongan REE mendapat perhatian ramai sebelum pilihan raya di enam negeri selepas ada pihak mendedahkan wujudnya aktiviti perlombongan haram di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Dasar mineral bercanggah dasar biodiversiti, perhutanan?

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul melahirkan kebimbangan dengan Dasar Mineral Negara yang sedang dirangka.

Beliau yang turut sama memberi pandangan dan pengisian terhadap dasar itu dalam satu perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Ogos lalu khuatir dasar tersebut akan bercanggah dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan dan Dasar Perhutanan Malaysia.

Meor Razak khuatir Dasar Mineral Negara akan bersifat eksplotasi yang berlandaskan keuntungan tanpa mempedulikan kesan terhadap alam sekitar, haiwan liar dan Orang Asli.

Tambahan menurut beliau, sumber mineral terutama REE banyak terletak di Banjaran Titiwangsa yang juga dikenali sebagai Central Forest Spine dan merupakan kawasan sensitif alam sekitar.

Ini kerana kawasan tersebut merupakan habitat haiwan liar selain bertindak sebagai ‘paru-paru’ negara yang membekalkan oksigen.

“Kita ada Dasar Biodiversiti Negara, Dasar Perhutanan Malaysia. Beberapa dasar ini memang hendak melindungi namun pada masa sama kita ada Dasar Mineral Negara yang hendak mengekspoitasi. Mana satu kita mahu beri keutamaan?

“Sedangkan sumber mineral itu berada di kawasan sensitif. Bila berada di kawasan sensitif maka pihak berkuasa hendak meneruskan juga kerana hendak memenuhi dasar mineral ini?

“Sebab dia tengok mineral lebih memberi pulangan ekonomi tinggi, dasar yang hendak melindungi diketepikan. Maka tidak bergunalan ada dasar-dasar yang lebih kepada pemuliharaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

BACA: REE memang ada unsur uranium, thorium beradiasi – Penyelidik

BACA: REE senang dilombong secara haram, mudah dicuri

Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang disemak semula pada 2016 hingga 2025 bertindak sebagai panduan terhadap pengurusan biodiversiti yang menekankan kepentingan kelangsungan konservasi, penggunaan sumber yang konsisten serta perkongsian faedah kepelbagaian bio.

Ia memastikan Malaysia berusaha mengimbangi antara kemajuan sosioekonomi dan kehidupan alam sekitar terutamanya pemuliharaan kepelbagaian bio dan khidmat ekosistem.

Manakala Dasar Perhutanan Negara memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok sepertimana diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

Meor Razak turut risau sekiranya pihak berkuasa bertindak sewenang-wenangnya mengubah syarat dan pengezonan bagi membolehkan kawasan perhutanan atau pertanian bertukar menjadi perlombongan.

Beliau turut bimbang pihak berkenaan tidak mengendahkan Penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kawasan itu sudah ada dalam laporan EIA , bukan disediakan oleh NGO tetapi consultan yang bertauliah dilantik oleh JAS sudah jelas nyatakan ia sensitif alam sekitar Centeral Fores Spine.

“Tetapi nak bagi halalkan aktiviti perlombongan, kerajaan negeri ubah dia punya sempadan selepas lulus, apa makna laporan EIA? Hanya sekadar buat syarat?

“Sedangkan jelas laporan EIA kata ia kawasan sensitif, kaya dengan kepelbagaian biologi, tetapi nak halalkan perlombongan, sempadan diubah, seolah-olah kawasan itu tidak lagi sensitif,” katanya.

Meor Razak berkata, pihak berkenaan mungkin akan berkata, terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi bagaimanapun beliau ragu ia akan dipatuhi.

Mitigasi haiwan timbulkan konflik

Kebimbangan terbesar adalah berkaitan hidupan haiwan liar. Pembukaan kawasan hutan untuk aktiviti perlombongan atau pertanian akan menyebabkan habitat haiwan liar terganggu termasuk Harimau Malaya yang semakin pupus.

Kaedah mitigasi atau memindahkan haiwan liar dari satu kawasan ke kawasan lain untuk perlombongan akan menimbulkan konflik bukan sahaja antara haiwan dengan manusia tetapi haiwan dengan haiwan.

Katanya, EIA yang dikeluarkan oleh JAS akan memberi cadangan terhadap beberapa perkara termasuk pelan mitigasi sekiranya kawasan yang dikenal pasti untuk perlombongan terdapat haiwan liar.

Bagaimanapun katanya, pelan mitigasi haiwan liar ke kawasan lain tidak akan menyelesaikan masalah kerana Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
tidak mampu untuk memindahkan kesemua haiwan terbabit.

“Perhilitan tak mampu pindah semua. Nak pindah tak ada tempat. Nak pindah ke taman negara dari segi kemampuan kapasiti menampung sudah banyak, hantar ke Royal Belum pun tak mampu.

“Hidupan liar seperti gajah ada habitat tersendiri kalau kita pindahkan gajah di Pahang ke Royal Belum, gajah ini boleh jadi stress tak boleh menyesuaikan diri macam manusia juga pindah ke tempat baru.

“Harimau Malaya juga begitu. Ada wilayah dia. Bila kita pindahkan ke tempat baru. Radius pergerakan haiwan besar. Untuk harimau 30 kilometer sehari. Tiba-tiba kita lepaskan harimau luar ke habitat baru yang ada harimau yang menjadi wilayah dia,” kata Meor Razak.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap nasib kaum Orang Asli yang terpaksa bepindah apabila kawasan yang dihuni mereka ditandakan sebagai kawasan perlombongan.

Selain itu menurut beliau, perlombongan REE dan mineral yang tidak dikawal boleh menyebabkan pencemaran sumber air kerana ia turut melibatkan penggunaan bahan kimia.

Penebangan hutan untuk memberi laluan kepada perlombongan juga akan menimbulkan isu hakisan tanah.

Malah ia juga akan menyebabkan pemendapan sungai hingga boleh mengakibatkan banjir besar kerana aliran air yang tersekat.-MalaysiaGazette