Tangkap layar klip video ucapan seorang individu ahli DAP yang mencetuskan kemarahan Pemuda UMNO.

KUALA LUMPUR – Klip video memaparkan ucapan seorang ahli DAP yang bersifat provokatif dan berunsur kata-kata kesat adalah video lama yang sengaja ditularkan oleh pihak tertentu pada waktu kritikal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, penularan klip video itu bertujuan mematahkan momentum kempen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang hari pengundian Sabtu.

Katanya, klip video yang ditularkan itu melibatkan ucapan seorang ahli DAP dalam satu majlis makan malam anjuran sebuah cawangan DAP.

“Selepas siasatan dalaman dibuat, adalah didapati majlis tersebut telah diadakan pada bulan Jun yang lalu dan bukannya semasa tempoh kempen pilihan raya. Individu berkenaan adalah seorang ahli biasa DAP dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Anthony berkata, pucuk pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.

Beliau juga telah mengarahkan supaya status keahlian individu tersebut digantung serta merta sementara Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan susulan.

“Saya menyeru semua penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP,” katanya.

Terdahulu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mendesak Anthony mencari individu tersebut dan membuat permohonan terbuka terhadap maki-hamun yang dilemparkan terhadap UMNO.

ADUN Merlimau itu menyifatkan kenyataan kononnya UMNO meminta maaf kepada DAP adalah kurang ajar dan tidak benar kerana beliau sendiri telah secara terbuka mendesak DAP yang memohon maaf kepada UMNO. – MalaysiaGazette