Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan

KUALA LUMPUR – Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) telah memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 8 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tindakan undang undang ini diambil akibat kegagalan Sanusi memenuhi tuntutan dalam Surat Tuntutan yang disampaikan pada 4 Ogos lalu iaitu permohonan maaf secara terbuka dan pampasan RM200 juta atas tuduhan fitnah dan tidak berasas terhadap Plaintif berkaitan projek Gerbang Maritim Selangor (“SMG”).

Vincent dan Berjaya Land  (plaintif) menyifatkan telah membuat kenyataan fitnah semasa kempen pilihan raya “Jelajah Mega PN Best” / “PN BEST Sayangi Kedah Sejahtera mega tour” pada 2 Ogos 2023 yang disiarkan secara langsung kepada umum .

Kenyataan itu juga diterbitkan semula di pelbagai saluran media sosial termasuk Youtube Astro Awani Video Langsung, Facebook Astro Awani Video Langsung, TV PAS Facebook Video Langsung dan KiniTV Youtube Video.

Artikel berkaitan:

Beliau mendakwa kenyataan fitnah Sanusi  telah menggambarkan mereka adalah antara orang/syarikat yang korup dan kroni Menteri Besar Selangor.

Vincent dan Berjaya Land juga mendakwa ucapan Sanusi telah menggambarkan mereka menerima secara langsung/tidak langsung tanah percuma seluas 600 ekar daripada Kerajaan Selangor dan mereka secara langsung/tidak langsung telah memberi faedah kepada Menteri Besar Selangor dalam penukaran tanah tersebut.

Selain itu plaintif juga mendakwa ucapan Sanusi menggambarkan bahawa mereka telah mendapat manfaat daripada Kerajaan Selangor melalui kronisme dan nepotisme serta menyebabkan Negeri Selangor dan rakyatnya mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM180 juta.

Plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan terhadap Sanusi serta injunksi untuk mencegah Defendan daripada mengulangi semua perkara yang merujuk kepada Plaintif yang terkandung dalam ucapan tersebut.

Berjaya Land dalam kenyataan menyifatkan tuduhan fitnah itu bertujuan merosakkan reputasi perniagaan Vincent dan Berjaya Land yang mengandungi kenyataan bermotif politik, berniat jahat dan memperlekehkan, telah dinafikan secara mutlak oleh Berjaya Land.

Katanya,  senarai telah dikeluarkan melalui kenyataan akhbar oleh Berjaya Land pada 4 Ogos lalu untuk membetulkan kenyataan palsu dan mengelirukan yang dibuat oleh Sanusi.

“Memandangkan Menteri Besar sementara Kedah gagal memenuhi tuntutan yang disampaikan, kami telah mengambil langkah undang-undang yang perlu dengan memfailkan saman terhadapnya.

“Tindakan undang-undang ini bertujuan untuk menangani rungutan dan mendapatkan remedi yang bersesuaian terhadap perkataan and perbuatan fitnah yand dibuat oleh Defendan.

“Berjaya dan anak-anak syarikatnya sentiasa mempertahankan standard tertinggi tadbir urus korporat dan melindungi kepentingan pemegang kepentingan kami. Kami amat percaya kepada kedaulatan undang-undang dan akan meneruskan semua jalan perundangan yang ada untuk memastikan penyelesaian yang memuaskan untuk perkara ini,” kata Vincent.

Terdahulu, Vincet dan Berjaya Land telah membuat beberapa laporan polis terhadap Sanusi  penulis blog Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin alias “Chegubard” dan Raja Petra Kamarudin berhubung penerbitan berita yang serupa iaitu kenyataan fitnah dan tidak benar berkaitan Projek SMG.

Kenyataan fitnah itu boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, yang apabila sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette