Vincent Tan

KUALA LUMPUR – Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta dari Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar oleh Menteri Besar Kedah itu mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Syarikat itu dalam satu kenyataan merujuk dakwaan-dakwaan Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, minggu lalu kononnya wujud skandal antara Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dengan Vincent untuk melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, Sanusi yang menggelar Vincent sebagai tauke mendakwa, pengasas Berjaya itu akan memperoleh tanah 600 hektar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan negeri sekitar RM180 juta.

Dakwaan-dakwaan tersebut telah ditolak dengan tegas oleh Berjaya Land dah hujah penuh diterbitkan melalui kenyataan akhbar pada 4 Ogos 2023 untuk membetulkan kenyataan palsu yang dibuat oleh Sanusi.

Artikel berkaitan: Sanusi buat tuduhan palsu, berniat jahat terhadap Berjaya Land – CEO

Menurut Berjaya, satu surat tuntutan firma guaman mewakili Vincent dan Berjaya Land telah dikemukakan kepada Sanusi dan tindakan undang-undang akan diambil jika beliau gagal memenuhi lima tuntutan menjelang esok.

Menurut kenyataan itu lagi, Vincent dan Berjaya Land juga telah membuat laporan polis terhadap Sanusi dan blogger yang terbabit iaitu Murray Hunter, Badrul Hisham Shahrin (lebih dikenali sebagai Chegubard) dan Raja Petra Kamaruddin.

“Kenyataan-kenyataan yang defamasi ini telah mencemar integriti, reputasi dan imej saya serta Berjaya Land Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ini telah menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta insiatif dermawan yang sah,” kata Vincent. – MalaysiaGazette