Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barangan yang dirampas seperti jongkong emas yang bernilai RM11 juta ketika sidang media mengenai kejayaan JSJK di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) diminta menetapkan syarat-syarat supaya setiap syarikat pelaburan emas berdaftar dengannya bagi mengelakkan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, syarat-syarat tersebut membolehkan BNM memantau aktiviti syarikat pelaburan emas yang aktif di negara ini.

“JSJK saran BNM tetapkan peraturan semua syarikat pelaburan berasaskan logam seperti pelaburan emas berdaftar dengan BNM. Langkah ini penting bagi menentukan wang yang dilabur terjamin dan mengelakkan kewujudan skim pelaburan emas,” katanya ketika sidang media.

Baru-baru ini BNM menafikan telah melulus dan melesenkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh pelaburan emas iaitu  Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB).

BNM berkata, terdapat pelbagai alasan dan dakwaan tular di media sosial apabila nama BNM dipetik bagi meredakan isu yang melingkari QMSB.

Sementara itu Ramli Mohamed memaklumkan, seramai 12 individu ditangkap dalam serbuan Op Nuri yang dijalankan pada 29 April.

Katanya, tangkapan dibuat di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Kesemua mereka melibatkan 10 (lelaki) dan selebihnya perempuan tempatan berumur dalam lingkingan 21 hingga 45 tahun berperanan sebagai pengarah syarikat dan pemilik perniagaan yang digunakan sebagai akaun keldai dalam aktiviti penipuan pelaburan Goldman Sachs.

“Turut dirampas lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, 1 porch beg, dua salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sehelai salinan borang pendaftaran perniagaan dan lima helai Form A,” katanya lagi.

Jelasnya, siasatan mendapati sindiket penipuan tersebut beroperasi secara dalam talian menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka di dunia untuk memperdaya mangsa dengan kerugian keseluruhan dianggar mencecah lebih RM11.3 juta.

Ujarnya lagi, skim pelaburan itu menawarkan pulangan 15 hingga 200 peratus sebulan menerusi bimbingan dan bantuan pakar analisis pasaran modal atau “Cikgu Trader”.   

“Laman Facebook dan Whatsapp digunakan sebagai medium pemasaran dan komunikasi dengan mangsa. Iklan promosi sindiket dibuat melalui laman sosial dengan aplikasi sistem algoritma Facebook,” tambahnya.

Ramli berkata, susulan itu sebanyak 29 kertas siasatan dibuka dan 19 akaun bank telah dikenal pasti melibatkan tiga syarikat dan 16 perniagaan yang disalah guna sebagai mute akaun.

“Semua orang kena tuduh (OKT) sedang direman tiga hari sehingga semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.- MalaysiaGazette