Muhammad Sanusi Md Nor. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak akan melayan tuntutan permohonan maaf terbuka oleh Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land).

Sebaliknya beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) mendakwa memiliki dokumen-dokumen akan didedahkan kepada umum.

“Tak (minta maaf), kes itu sedang berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan, kita tengok sehari dua lagi. Itu sahajalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Program Mai Sat Bersama Menteri Besar Kedah di Taman Tunku Yaakob di Alor Setar hari ini.

Turut hadir calon Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu, Radhi Mat Din.

Semalam, Vincent dan Berjaya Land menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi susulan susulan dakwaan Menteri Besar Kedah itu membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Muhammad Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika ‘Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’ pada 2 Ogos lalu.

Berjaya Land dalam kenyataan berkata, satu surat tuntutan melalui firma guaman mewakili Vincent dan pihaknya dikemukakan kepada Muhammad Sanusi pada kelmarin, yang menggariskan lima tuntutan.

Menurut syarikat itu, Vincent dan Berjaya Land juga membuat beberapa laporan polis terhadap Muhammad Sanusi selain beberapa blogger seperti Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan defamasi terhadap projek SMG.

Projek itu mungkin dilihat sebagai kesalahan fitnah mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang apabila disabitkan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Vincent turut dipetik dalam kenyataan itu dengan berkata kenyataan defamasi itu mencemarkan integriti, reputasi dan imejnya serta Berjaya Land. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Vincent Tan tuntut Sanusi mohon maaf terbuka, pampasan RM200 juta

1 Komen

Comments are closed.