KUALA TERENGGANU – Biar pun usia muda namun minat mendalam pasangan kembar tidak seiras menghayati sebahagian proses demokrasi negara ini wajar dipuji.
Kedua adik-beradik, Syed Hafizan Nasrullah Syed Nahar dan Syarifah Athirah teruja apabila terpilih untuk menyumbang bakti menjadi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Mereka berdua berusia 20 tahun itu ditempatkan sebagai Pemandu Arah di Pusat Mengundi DUN Ru Rendang dekat Marang.
“Sebenarnya minat jadi petugas SPR ini bila tengok ibu bapa kami selalu jadi petugas SPR. Jadi kami tidak mahu melepaskan peluang.
“Bila jadi petugas, rasa dapat memberi semangat juga kepada kawan-kawan sebaya supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Pernah mengundi, ini kali pertama jadi pemandu arah pusat mengundi. Rasa gembira dapat tolong orang, lagi dapat tengok orang datang undi awal,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Syarifah Athirah pula berkata, sambutan agak luar biasa melihat kehadiran pengundi membuatnya bersemangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pemilih terutama warga emas dan golongan orang kurang upaya.
“Keluarga memang minat menjadi pasukan membantu SPR setiap kali hari mengundi jadi bersyukur dapat ikut jejak mereka.
“Cabaran Kita kena tahu selok belok tugas mengundi. Kami diberi taklimat oleh pengurusan SPR untuk menangani perkara kecemasan,” katanya.
Mereka berharap dapat menyumbang kudrat pada pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette