SHAH ALAM – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberi kemenangan kepada mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
ADUN Kota Anggerik dari PH, Najwan Halimi menghargai setiap sokongan pengundi kawasan itu yang membuat keputusan memihak kepadanya.
Beliau akan meneruskan lima tekad yang dijanjikan sebelum ini bagi memastikan penduduk di DUN berkenaan dapat menikmati kemajuan seiring dengan kerajaan negeri.
“Terima kasih kepada pengundi DUN Kota Anggerik yang telah melaksanakan tanggungjawab mengundi semalam. Setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas dan relawan yang membantu menggerakkan jentera pilihan raya dan seterusnya menjayakan kemenangan Harapan di DUN ini.
“Saya bertekad untuk melaksanakan amanah ini dengan lebih baik demi mengangkat dan membela kepentingan rakyat. Semoga Allah mengurniakan kekuatan, hikmah, sifat tawaduk serta memudahkan segala urusan saya dalam memikul amanah ini,” katanya.
Dalam PRN semalam beliau mengalahkan calon dari PN, Mohamed Sukri Omar dan calon Parti MUDA, Azad Akbar Khan.
Sementara itu, ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin tidak menyangka keputusan malam tadi berpihak kepadanya dengan majoriti agak tipis iaitu hanya 30 undi.
“Walaupun tipis, saya telah menang dan bersyukur ke hadrat Illahi. Terima kasih serta setinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pengundi Taman Medan, Keluarga Kita yang telah memilih semalam.
“Tahniah kepada seluruh jentera dan penyokong PN Taman Medan atas kerja kuat dan usaha tanpa lelah kalian sepanjang tempoh kempen. Segala jasa dan pengorbanan kalian tidaklah mampu saya balas.
“Kerja kita untuk Taman Medan akan bermula Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette