Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berucap pada Program Santai Kebudayaan di Sungai Panjang, Selangor Foto MUHD NA’IM 29 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kekalahan Barisan Nasional (BN) sebagai calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di enam negeri adalah tanggungjawab bersama pemimpin UMNO semua peringkat.

Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, semua pihak perlu menerima keputusan rakyat dan tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sahaja.

“Serangan ke atas susuk tubuh Presiden UMNO kerana mahu beliau bertanggungjawab atas kekalahan dialami BN bukan satu keutamaan pada masa ini.

“BN masuk PRN kali ini secara gabungan bersama Pakatan Harapan (PH). Kita kena menyambut baik kejayaan gabungan PH-BN buat kali pertama mempertahankan tiga negeri dikuasai sebelum ini.

“Bagaimanapun kita perlu menerima hakikat sokongan pengundi Melayu kepada BN semakin merosot dan semua pihak perlu bersama untuk segera menangani perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRN15 di enam negeri semalam menyaksikan calon Perpaduan daripada BN hanya memenangi 12 dari 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Dari jumlah itu, hanya dua kerusi dimenangi calon BN di Selangor termasuk Datuk Rizam Ismail di kerusi N01 Sungai Air Tawar dan Datuk Johan Abd Aziz (Dusun Tua).

Tambah Jamal, kegagalan menangkis sentimen DAP-UMNO yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) dalam kempen pada saat akhir merugikan BN.

“Sentimen menyemarakkan persengketaan lama tidak sepatutnya timbul kerana dua parti itu kini sudah menjadi parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Pimpinan dan akar umbi perlu bertenang dan tidak menembak kaki sendiri.

“Ini kerana PRN15 adalah pilihan raya pertama selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan dan post mortem harus dilakukan bagi memperbaiki kelemahan yang wujud,” katanya.

Selain itu, tindakan mendesak Presiden UMNO bertanggungjawab atas kekalahan itu dan meletakkan jawatan bukan langkah yang cerdik dan hanya menguatkan persepsi UMNO kian ditolak rakyat.

“Beri ruang dan masa kepada pimpinan dan jentera UMNO merapatkan saf, menyesuaikan diri dengan konsep perpaduan apabila masuk dalam mana-mana pertandingan selepas ini.

“Sekarang bukan masa untuk kita bertembung dan meruntuhkan rumah agam UMNO yang kita bina sejak sekian lama.

“Sekarang adalah masa untuk kita bersama kepimpinan mempertahankan perjuangan UMNO demi agama bangsa dan negara. Pertelingkahan hanya merugikan UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast