GEORGE TOWN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dijangka akan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri bagi penggal kedua pagi ini.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dilaporkan akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Kon Yeow ketika ditemui pemberita di Hotel St Giles malam tadi mengesahkan majlis mengangkat sumpah itu akan berlangsung di Seri Mutiara di Jalan Utama di sini hari ini.
“Seperti diputuskan pucuk pimpinan PH-BN, saya akan mewakili kerajaan negeri yang baharu untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri esok (pagi ini),” katanya malam tadi.
Kon Yeow akan mengetuai Kerajaan Negeri Perpaduan setelah parti gabungan PH-BN memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).
Media pada 5 Ogos lalu melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan wujud komplot menjatuhkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow daripada mentadbir Pulau Pinang sepanjang penggal depan sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).
Jelas beliau, pendirian DAP tegas dan terbuka bahawa Kon Yeow yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri akan kekal sepanjang penggal depan.
Katanya, DAP juga akan memberikan sokongan penuh terhadap calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota itu memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Mengulas soal pelantikan barisan Exco, Kon Yeow berkata, ia akan dibentuk selepas perbincangan dan pemilihan diadakan antara gabungan PH-BN nanti. – MalaysiaGazette
Terbaik KM dan PH..Harap lepas ni kerajaan negeri akan beri tumpuan dengan membantu anak2 negeri Pulau Pinang..berikan keutamaan kepada mereka…Skrg ni di Penang berlambak imigran2 dari Kedah, Perlis dan Kelantan mendapat manfaat dari hasil usaha kerajaan PH dan kemakmuran Penang…perkara ini harus dihentikan…mereka ini lah yg berbondong2 balik ke Kelantan, Kedah dan Terengganu utk menyokong PAS