Muhammad Bakhtiar.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengakui sentimen gelombang hijau mengakibatkan enam kerusi ditandingi parti itu menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) tewas.

Ia termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimanapun, Muhammad Bakhtiar berkata, pihaknya menganggap kekalahan itu sebagai satu pengajaran walaupun jentera sudah membuat persediaan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Kita beri fokus di kerusi DUN dalam Permatang Pauh sejak Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar kalah pada PRU15 November lalu. Bagaimanapun, kita terima keputusan yang dibuat oleh rakyat dan saya pasti calon-calon pun sudah meneliti punca kekalahan mereka.

“Mungkin pihak lawan (Perikatan Nasional) banyak bermain dengan sentimen yang kita tidak dapat menangkisnya pada tempoh tersebut hingga menyebabkan ia mempengaruhi pemikiran khususnya golongan anak muda,” katanya pada sidang media di Hotel St Giles di sini malam tadi.

Tiga kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu Permatang Pasir yang disandang Amanah manakala Penanti dan Seberang Jaya (PKR) dimenangi calon dari PN.

Kawasan itu diberi tumpuan susulan kerusi Parlimen tersebut merupakan legasi keluarga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 40 tahun namun ia berjaya ditembusi wakil Pas, Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN) selepas menewaskan Nurul Izzah Anwar pada PRU15.

Mengulas lanjut, Muhammad Bakhtiar juga menyifatkan keputusan undian PRN membabitkan kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh itu agak sengit.

”Kebanyakan kerusi yang kita kalah adalah di kawasan undi Melayu dan ada dua kerusi campuran kita menang iaitu di DUN Batu Maung dan Batu Uban.

“Kita akan analisa semua keputusan dalam PRN ini termasuk melihat majoriti kekalahan untuk memperbaiki kelemahan dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Untuk rekod, PKR bertanding di 13 kerusi DUN Pulau Pinang iaitu Pinang Tunggal; Telok Ayer Tawar; Seberang Jaya; Penanti; Machang Bubuk (menang); Bukit Tengah (menang); Bukit Tambun (menang); Sungai Bakap; Kebun Bunga (menang); Batu Uban (menang); Pantai Jerejak (menang); Batu Maung (menang) dan Pulau Betong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau dalam filem ibu mertuaku kassim selamat membutakan matanya dengan menggunakan garfu. Dalam PRN pula ulama ulama PAS membutakan mata rakyat dengan melepar pasir dan habuk ke mata pengikutnya.

Comments are closed.