Jamal Md Yunos

SUNGAI BESAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang yang baharu, Mohd Razali Saari perlu bersedia untuk mengadaikan harta benda termasuk sawah dan kebun jika mahu berkhidmat kepada rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, ini kerana Mohd Razali hanya berstatus wakil rakyat pembangkang yang tiada peruntukan kawasan.

“Saya bimbang tiada lagi wakil rakyat daripada kerajaan selepas ini di Sungai Panjang, tak mampu bantu sekolah dan PIBG. Jadi kita tunggu lima tahun akan datang, biarlah yang menang ini berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau ada bendang, jual bendang. Kalau ada kebun jual kebun untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Dewan Seri Bernam di sini malam tadi.

Terdahulu, Jamal mengiringi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Imran Tamrin menghadiri majlis pengumuman keputusan PRN15 bagi kerusi N03 Sungai Panjang.

Pada majlis itu, Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya N03 Sungai Panjang, Zain Azmi Mohd Nor mengumumkan Mohd Razali daripada Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN15 bagi kawasan berkenaan.

Mohd Razali, 41, memperoleh 16,977 undi menewaskan penyandang kerusi DUN Sungai Panjang, Mohd Imran yang hanya mendapat 13,401 undi dengan majoriti 3,576 undi.

Dalam pada itu, Jamal menghormati pilihan dan keputusan rakyat Sungai Panjang yang mahu wakil rakyat di peringkat Parlimen dan DUN daripada PN.

“Malam ini saya mengiringi Datuk Imran untuk menerima keputusan, Datuk Imran mempunyai jiwa besar dapat menerima kekalahan kerana ini bukan pertandingan kalah mati.

“Rakyat Sungai Panjang sudah memilih walaupun saya sendiri sudah memberi amaran dan peringatan masyarakat, rakyat dan penduduk di sini.

“Ahli Parlimen di sini daripada pembangkang (PN) dan mereka telah memilih, mahu ADUN juga daripada PN,” katanya.

Dalam pada itu, Jamal turut melahirkan kebimbangan status Selangor sebagai negeri maju boleh terjejas dek kerana wakil rakyat PN tiada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

“Saya melahirkan rasa bersyukur dengan pembentukan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kemenangan ini membolehkan Selangor terus berkembang maju seperti yang dirancangkan.

“Saya bimbang kerajaan yang maju dipimpin oleh parti-parti yang tidak berpengalaman mengakibatkan negeri maju menjadi mundur seperti tiga negeri yang mereka (PN) menang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast