Sundarajoo diraikan penyokongnya selepas diisytiharkan sebagai ADUN Perai di Pusat Penjumlahan Undi KOlej Vokasional Seberang Perai malam tadi.

SEBERANG PERAI – Datuk Seri Sundarajoo Somu merekodkan kemenangan bersejarah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Calon Pakatan Harapan dari DAP itu berjaya memperoleh jumlah undi majoriti yang besar dan tidak pernah dicatatkan oleh mana-mana bekas penyandang kerusi itu sebelum ini.

Sundarajoo dalam penampilan sulung sebagai ahli politik  berjaya menang dengan majoriti 9,139 undi menewaskan tiga lagi calon bertanding dengan memperoleh sebanyak 10,680 undi berbanding bekas penyandangnya P. Ramasamy (9,049 undi).

Kemenangan beliau juga menyaksikan bekas ahli DAP, David Marshal yang bertanding bebas dan calon parti MUDA, Vikneswary hilang wang pertaruhan.

Bercakap kepada pemberita selepas diisytiharkan secara rasmi sebagai ADUN Perai yang baharu, beliau  tidak menjangka penampilan sulungnya dalam arena politik mendapat kemenangan luar biasa.

“Saya berlatarbelakangkan seorang pemaju dan DUN Perai banyak memerlukan pembangunan penambahbaikan dan sebagainya dan kerana itulah saya dipilih rakyat,” ujarnya.

Ditanya tindakan pertama beliau selepas bergelar wakil rakyat, beliau mahu menyelesaikan masalah perumahan penduduk Kampung Manis yang berusia lebih 70 tahun.

“Suasana di sana memang sangat teruk dan saya mahu bekerjasama dengan Perbadanan Aset Keretapi yang merupakan pemilih tanah itu supaya kita boleh buat satu perumahan baharu semula yang lebih selesa untuk penduduk bergenerasi Kampung Manis ini keutamaan saya seperti dijanjikan dalam manifesto,” katanya lagi. – MalaysiaGazette