Ucapan terima kasih kepada pengundi Jeram Padang hari ini.

KUALA LUMPUR – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri S. Surash kalah dengan majoriti 693 undi dengan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

BN yang diwakili Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir memperoleh 5,462 undi manakala Surash yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan mendapat 4,769.

Pun begitu, rata-rata ahli dan penyokong merasakan Surash tetap ‘menang’ kerana mendapat ribuan undi dalam kalangan rakyat tempatan.

Menurut seorang pemimpin PN Negeri Sembilan yang tidak mahu dikenali, kekalahan itu sebenarnya telah memberi sinar bahawa sokongan Surash dalam kalangan masyarakat agak membanggakan.

“BN mempunyai komponen yang besar malah jenteranya juga hebat seperti UMNO, DAP, PKR, MIC. Semuanya turun berkempen.

“Bagaimanapun beliau tetap berjaya mendapat undian besar malah beza antara pihak lawan dengannya juga hanya beberapa ratus sahaja. Jumlah undi adalah sebanyak 10,231 dengan pengundi berdaftar 16,332,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata pemimpin itu, bilangan pengundi keluar mengundi juga merosot dan pihaknya terpaksa rumah ke rumah selepas pukul 2 petang semalam bagi memastikan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Ramai juga sudah muak dengan politik nasional, tidak mahu keluar undi. Ada juga cubaan pihak tertentu untuk buat kempen fitnah pengaruhi penduduk setempat tentang Surash.

“Ada banyak faktor tetapi jika kita lihat betul-betul, Surash ‘menang besar’ dan beliau sendiri akur namun kekalahan ini langsung tidak kendurkan semangat beliau untuk terus bersuara dan berjuang untuk masyarakat Jempol khasnya Jeram Padang tempat kelahirannya.

”Ramai dalam kalangan masyarakat setempat menyokong beliau, ada yang menitiskan air mata semalam dengan keputusan itu. Semua ini kerana jasa beliau lebih 10 tahun di tanah tempat kelahiran beliau,” ujarnya.

Untuk makluman, ketika Surash bertanding secara bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lepas, beliau berjaya meraih undi kedua tertinggi selepas calon BN, Datuk L. Manickam yang mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua apabila memperoleh 3,702 undi.

Undi itu mengejutkan rata-rata memandangkan mendapat 2,640 undi iaitu satu angka yang jarang diperolehi oleh calon tanpa parti gergasi.

PN Negeri Sembilan juga menganggap kemenangan mereka di lima buah kerusi DUN pada PRN Ke-15 ini sebagai pencapaian baik dan satu permulaan untuk bertapak di negeri itu.

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, kemenangan itu juga sekali gus membawa suara pembangkang di dalam DUN negeri ini. – MalaysiaGazette