Calon Barisan Nasional (BN) N.23 Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz

HULU LANGAT – Datuk Johan Abd Aziz yang diisytiharkan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dengan majoriti 3,014 undi mahu semua pihak bersama-sama membangunkan dan memajukan kawasan diwakilinya dalam lima tahun akan datang ini.

Kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih selama dua penggal itu, hakikatnya beliau bersyukur dengan kemenangan yang memberinya keyakinan penuh penerimaan masyarakat di Dusun Tua kepadanya bukan sekadar omong kosong.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi serta keseluruhan jentera Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) yang merealisasikan kemenangan itu.

“Saya mendapat kemenangan dengan majoriti 3,014 undian. Syukur kepada Allah. Terima kasih kepada pengundi yang mengundi saya, yang tidak undi juga marilah kita bersama-sama membangunkan Dusun Tua ini.

“Saya rasa penduduk dan pengundi sudah memberikan amanat ini dan insya-Allah saya akan cuba sebaik-baik mungkin untuk deliver apa yang telah saya janjikan selama kempen ini.

“Sekali lagi, terima kasih kerana rakyat Dusun Tua kerana memberi peluang kepada Johan Abd Aziz berjuang dan berkhidmat untuk anda,” katanya.

Johan mengalahkan dua pencabarnya iaitu Azhar Hambali (Perikatan Nasional) dan calon MUDA, Al Hafiz Ikhwan.

Pada PRN kali ini, PH-BN telah berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN  pada pengundian semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata PH-BN memperoleh majoriti mudah 29 kerusi pukul 11.31 malam tadi sekali gus melepasi lebih 50 peratus kerusi manakala PN menang 22 kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast