Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

ALOR SETAR – UMNO yang bertanding 15 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) gagal memenangi satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Parti itu yang bertanding di DUN Ayer Hangat; Ayer Hitam; Bukit Lada; Anak Bukit; Sungai Tiang; Guar Chempedak; Jeneri; Pantai Merdeka; Bayu; Kuala Ketil; Merbau Pulas; Bandar Baru dan Tanjung Dawai hampa dikalahkan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang diletakkan di DUN Pedu kalah dengan majoriti 6,373 undi.

Bekas menteri dari UMNO itu kalah di tangan penyandangnya, Mohd Radzi Md Amin dengan hanya menerima 8,024 undi.

Mohd Radzi menerima 14,397 undi.

Rakan kerjasama UMNO, PKR yang bertanding 10 kerusi hanya memenangi dua DUN Sidam menerusi Bau Wong Ek dengan majoriti 954 undi dan DUN Bakar Arang dengan majoriti 3,638 undi.

Pada PRU14 lalu, PKR menang di kerusi DUN Suka Menanti melalui calonnya, Datuk Zamri Yusuf; Gurun (Datuk Johari Abdul); Bukit Selambau (R Summugam); Bakar Arang (Simon Ooi), Kulim (Yeo Keng Chuan) selain di DUN Lunas dan DUN Sidam.

Parti Amanah Negara pula yang bertanding di sembilan kerusi gagal meraih satu pun kerusi.

DAP yang bertanding dua kerusi hanya dapat mempertahankan DUN Kota Darul Aman dengan majoiriti 5,650 undi.

Parti itu gagal mempertahankan DUN Derga yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 3,662 undi.

Situasi di ibu pejabat UMNO Kedah lengang
Situasi di ibu pejabat UMNO Kedah lengang

Dalam pada itu, ibu pejabat UMNO di Bangunan Putra sunyi selepas mengetahui gabungan PH-BN kalah di Kedah.

Media yang berkampung sejak pukul 7 malam tadi tertanya-tanya di mana pemimpin PH-BN seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Ruang dewan ibu pejabat UMNO itu lengang sehingga pukul 11 malam dan media bertindak meninggalkan dewan berkenaan.

Difahamkan PH-BN akan mengeluarkan kenyataan mengenai kekalahan mereka di Kedah malam ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast