Temubual bersama Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi Mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan perlu berusaha untuk menarik sokongan orang Melayu selepas kumpulan itu dilihat mula mengalihkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, undi terhadap PN adalah satu cara kumpulan itu ‘bersuara’ untuk mendapatkan perhatian kerajaan sekarang.

“Mereka bertindak menyokong PN tidak lebih untuk mendapat perhatian daripada kerajaan supaya ekonomi Melayu dipertingkat jauh lebih baik, jauh lebih besar.

“Ini saya kira ekonomi Melayu yang terbelenggu, bila anak-anak habis universiti tidak ada pekerjaan terpaksa berhijrah. Ini mencetuskan kebimbangan bagaimana untuk meminta perhatian? Inilah cara dia,” kata Awang Azman.

Beliau di minta mengulas mengenai keputusan PRN semalam yang memperlihatkan parti-parti bertanding mengekalkan status quo namun pada masa sama PN berjaya merampas banyak kerusi yang disandang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Awang Azman berkata, selama lapan bulan mentadbir negara Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya melakukan pembaharuan ekonomi.

Kemasukan pelaburan besar dari luar negara, membantu meningkatkan gaji sektor swasta dan menyemak gaji penjawat awam antara inisiatif yang dilakukan.

Bagaimanapun dasar yang akan memberi impak jangka panjang tersebut mungkin tidak dirasai oleh pengundi Melayu di luar bandar.

“Ini sebenarnya satu cermin kerisauan dalam kalangan pengundi Melayu tentang nasib mereka.

“Mereka sebenar tidak terbela dengan latar belakang dan lokaliti dan kawasan setempat khususnya mengenai ekonomi orang Melayu,” jelas beliau kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, pemimpin PN bijak dalam menarik sokongan golongan itu dengan memainkan naratif Melayu-Islam.

PN meletakkan posisi sebagai pelindung Islam dan Melayu sehingga berjaya meraih undi kaum tersebut.

“Kita lihat kempen PN yang saling menyalahkan BN dan PH. Mereka kata Anwar penipu, pembohong dan perompak. Mereka membina naratif negatif terhadap BN dan PH.

“Mereka menggunakan media sosial yang masih lagi berpengaruh. Ini membelenggu pengundi terutama orang muda dan pengundi sedia ada,” kata Awang Azman.

Justeru menurutnya, Kerajaan Perpaduan mempunyai tempoh lebih kurang empat tahun untuk mendapatkan sokongan orang Melayu sebelum pilihan raya umum ke-16 berlangsung.

PH dan BN perlu bersama-sama menarik sokongan orang Melayu sekurang-kurangnya 35 peratus.

Tambah beliau, peranan UMNO amat penting sebagai elemen pengimbang kaum kepada kerajaan perpaduan dan kerana itu  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran PN.

“Ada empat tahun empat bulan bagi menambahkan lagi dari 25 kepada 35 peratus menjadikan kepada 55 peratus untuk Kerajaan Perpaduan mengambil tempat dan kedudukan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Keputusan PRN semalam menyaksikan PN mengusai 146 kerusi, PH (80) dan BN (19).

PN memperoleh bilangan kerusi tinggi dengan membolot semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Kedah memenangi 33 daripada 36 kerusi dan Kelantan 43 daripada 45 kerusi.

Parti itu turut menguasai 22 daripada 32 kerusi di DUN Selangor dan 11 daripada 27 kerusi di Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast