Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Kejayaan Perikatan Nasional (PN) menguasai 11 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) disebabkan penglibatan secara langsung Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, kejayaan itu ditambah dengan kemenangan PN di tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang disandang Wan Saiful.

“Ketokohan sosok pemimpin muda berkarisma ini boleh dilihat dari prestasi Perikatan Nasional di Parlimen Tasek Gelugor. Kejayaan menyapu bersih ketiga-tiga DUN di bawah Parlimen ini iaitu DUN Permatang Berangan, DUN Sungai Dua dan DUN Teluk Ayer Tawar.

“Sejak memenangi Parlimen Tasek Gelugor dalam PRU-15 November lalu, Ahli Parlimennya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan diketahui sangat aktif turun padang membantu calon-calon PN dalam siri jelajah di enam negeri, melalui jemputan kempen rumah ke rumah, walkabout dan ceramah isu-isu semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar Dr Mazlan, kelantangan Wan Saiful mengkritik kepimpinan dan dasar-dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa rasa takut dilihat meraih rasa kagum khalayak dan perasaan hormat terhadap beliau.

Malah naratif kluster mahkamah yang dicanang oleh lawannya juga dilihat tidak memberikan kesan kepada masyarakat.

“Rakyat kelihatan tidak terpengaruh dengan naratif tersebut dan percaya ia adalah satu bentuk pendakwaan terpilih terhadap beliau.

“Keberanian Datuk Wan Saiful membawa isu-isu setempat di Tasek Gelugor pada sidang Dewan Rakyat lalu seperti pencemaran sungai akibat pengurusan ladang babi tidak terkawal dan isu kos sara hidup nelayan dan pesawah padi, memberi impak yang besar terhadap imej Perikatan Nasional di mata rakyat, dan secara tidak langsung mencetuskan kepercayaan yang tinggi terhadap kolisi politik gabungan Parti Bersatu, Pas dan Gerakan tersebut,” katanya.

Pada PRN Pulau Pinang Sabtu lalu, PN menang di Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.

Calon bagi kerusi DUN Permatang Berangan dimenangi oleh Yang Di-Pertua Pas Bahagian Tasek Gelugor, Mohd. Sobri Saleh dengan jumlah undian sebanyak 15,950 undi.

Kerusi DUN Sungai Dua pula dimiliki Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dengan memperoleh 13,988 undi bagi menewaskan pesaingnya dari BN-PH yang merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Shaikh Hussein Mydin.

Sementara itu, kerusi DUN Telok Ayer Tawar jadi milik Ketua Bersatu Bahagian Tasek Gelugor Azmi Alang yang memperoleh 10,223 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast