SEREMBAN – Semua ahli serta penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya menyokong siapa sahaja yang bakal menjadi Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan.
Kenyataan Irfan Aminuddin yang juga anak Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun itu menghangatkan lagi spekulasi berhubung calon Menteri Besar.
Menurut beliau, ahli akar umbi, jentera dan penyokong parti mesti terus membantu dan memberi sokongan walaupun pemimpin mereka tidak dipilih untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
“Kita di peringkat akar umbi ini juga harus bergerak seiring sebagai satu koalisi kuat ataupun team yang sentiasa ‘ngam’ untuk menjadikan warna ‘MerahBiru’ terus kekal relevan di negeri ini.
“Mungkin kita lihat ‘kerusi’ pengemudi ni satu yang besar tapi ‘kerusi’ yang direbut ni tak sebesar kurniaan nikmat perpaduan dan persahabatan yang Allah curahkan kepada kita,” katanya dalam laman Facebook miliknya, hari ini.
Istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal ke-15 akan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pukul 3 petang ini.
Setakat ini, calon Menteri Besar masih dirahsiakan dan dua nama yang disebut-sebut ialah Aminuddin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Irfan berharap, ikatan silaturahim yang terjalin antara PH dan BN tidak terputus semata-mata kerana isu jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau menambah, perpaduan antara kedua-dua parti mesti dipelihara dengan sebaik-baiknya kerana perpecahan tidak menguntungkan mana-mana pihak.
“Akhir kata, lepas ni kalau ada dari kalangan kita yang akar umbi ni yang rasa tak puas hati dan kecewa dengan keputusan yang akan keluar nanti ataupun rasa tak ngam dengan jiwa tu, cepat-cepat lah move on dan teruskan bekerja.
“Normal lah sebagai seorang manusia kita berasa marah atau kecewa tapi jangan lama-lama. Insan hebat adalah insan yang sentiasa berjiwa besar,” jelasnya. – MalaysiaGazette