KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan yang dikatakan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Ia wajar ditarik balik, katanya.
Menurut Hamzah, desakan terhadap Peguam Negara itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas dan membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Setiausaha Agung PN itu berkata, dalam membuat keputusan berkenaan, mahkamah bukan sahaja memutuskan pertuduhan ke atas Muhyiddin yang juga Pengerusi PN itu sebagai cacat, tidak berasas, kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah, malah adalah kesalahan penggunaan proses mahkamah.
“Kebenaran akhirnya berpihak kepada Tan Sri Muhyiddin. Kezaliman dan dendam politik kesumat kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang sengaja mencipta fitnah, mengada-adakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin PN terbukti di mahkamah hari ini.
“Dengan kezaliman ini, referendum rakyat yang ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu perlu diterjemahkan dengan menolak kerajaan PH-BN pimpinan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan berkenaan selepas membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk membatalkan tuduhan.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Mahkamah lepas dan bebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan rasuah