Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan mock cheque ketika hadir ke Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 15 OGOS 2023.

SERDANG – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggesa lebih banyak universiti terlibat membantu mengatasi isu keterjaminan makanan yang kini menjadi masalah global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, universiti di negara ini mempunyai banyak kepakaran dan penyelidikan yang boleh mengembangkan lagi sektor pertanian.

Pada masa sama, katanya, KPT akan melihat dan merangka bagaimana untuk mengoptimumkan pelbagai Pusat Kecemerlangan (CoE) dan Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang ada di semua institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kesemua pusat ini mesti bekerjasama dan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk negara. Universiti tidak boleh berhenti sekadar menjadi tempat rujukan.

“Universiti mesti turut mengambil langkah untuk memacu dan memimpin perubahan merentas pagar kampus,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Purta Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, antara universiti yang dilihat mampu menjadi penyumbang kepada isu keterjaminan makanan  adalah UPM.

Ini kerana kerajaan pernah mengkhususkan UPM sebagai universiti pertanian yang dibangunkan dengan
mandat, fokus dan harapan untuk memberi segala pencerahan serta membina kepakaran dalam pertanian.

“UPM merupakan universiti yang mampu melaksanakan isu besar ini (keterjaminan makanan) menerusi penyelidikan dan kajian ia akan menguat serta mengukuhkan sektor pertanian dalam negara.

“Ia bukan sahaja dapat mengatasi masalah ini, tetapi juga dapat melahirkan peluang serta pihak yang akan menceburkan diri dalam bidang pertanian,” ujarnya. – MalaysiaGazette