RAKYAT sedang giat memerhati situasi politik mutakhir. Kemelut politik-ekonomi negara yang semakin berlarutan sepanjang kempen-kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini membayangkan cabaran besar buat pimpinan kerajaan untuk membanteras anarki-anarki sentimen politik yang memporak-perandakan kesejahteraan dibangkitkan rakyat.
Justeru, dengan kesempatan inilah rakyat menilai strategi, kekuatan dan reputasi parti politik, bukan sahaja melibatkan percaturan politik tetapi penglibatan jalinan kerjasama antara parti yang boleh menyelesaikan kemelut politik negara.
Rakyat sudah bosan dengan konflik politik dan kecelaruan politik nasional, pergelutan kuasa tanpa kesudahan dan membantutkan usaha untuk fokus kepada pembangunan atau pemulihan ekonomi negeri.
Lantaran ini rakyat hanya menjadi pihak pemerhati dalam urusan politik dan mengelak terjerumus dalam kancah politik.
Tumpuan mereka hanya kepada memikirkan kesan strategi pemulihan sosio ekonomi taraf kehidupan yang terancam akibat kekusutan ekonomi yang semakin meningkat.
Keresahan merasai konflik ekonomi global yang belum menampakkan solusi berkesan dan relevan, telah menyebabkan taraf sosio ekonomi rakyat di negara-negara Asia menerima tempiasnya dan menyebabkan berlakunya krisis ekonomi domestik yang serius.
Hal ini akan menjejaskan keamanan dan kestabilan negara.
Justeru, pentingnya kestabilan negara yang akan menyaksikan keseimbangan pembangunan fizikal dengan pembangunan sosial rakyat bagi mendepani masalah-masalah kekusutan ekonomi global hari ini.
Kestabilan sesebuah negara itu wujud berbagai cara;
a. Politik yang menjadi paksi kepada keamanan dan rakyat;
b. Ekonomi dari segi pengagihan dana, nilai pelaburan negara dan negeri, peluang pekerjaan, kemakmuran rakyat; dan
c. Sosio ekonomi yang merangkumi taraf hidup, kecukupan makan minum, pendidikan, pengagihan pendapatan rakyat.
Cubaan/ujian tidak berasas terhadap keyakinan dan keutuhan sistem politik atau perlembagaan negara/negeri yang dikucar-kacirkan oleh pihak-pihak tertentu dengan menyaksikan
berlakunya domino effect harus diselesaikan dengan bijaksana.
Cubaan-cubaan menguji kekuatan dan pengaruh parti serta mempengaruhi fikiran dan tindakan rakyat untuk merosakkan suasana perpaduan atau kesejahteraan politik negara harus dihalang dan ditegah supaya kemurniaan dan kesepakatan rakyat terus dipelihara.
Fenomena negatif seperti ini akan menjadi sandaran kepada cubaan praktis jalinan kerjasama antara parti; persaingan kuasa dan pengaruh, perlumbaan penguasaan politik yang memberi isyarat kepada kedudukan politik kerajaan persekutuan yang tidak kukuh dan mengekalkan ancaman-ancaman yang boleh menguggat kestabilan politik negara.
Bukan masanya yang sesuai untuk menguji atau cubaan untuk mencerna perlembagaan negara tetapi fenomena kecelaruan politik hari ini membayangkan mekanisme sistem pemerintahan dan politik negeri dan persekutuan harus dinilai semula seperti mewujudkan dasar-dasar berkaitan kesejahteraan dan pemeliharaan masyarakat majmuk di negara ini dengan lebih komprehensif.
Usaha sebegini diharapkan akan dapat mendukung amalan demokrasi terpimpin yang lebih efektif di negara ini.
Kegawatan politk dan krisis perlembagaan yang tular sepanjang kempen PRN baru-baru ini mencabar kematangan sistem amalan politik negara sejak kemerdekaan yang boleh menjejaskan reputasi kepimpinan dalam kalangan parti politik untuk menampilkan penjelmaan imej yang positif dalam kalangan rakyat dan pengundi.
Kematangan rakyat bertumpu kepada sejauh manakah parti berpengaruh membuat percaturan politik semasa.
Apakah rakyat menilai ketelusan, keikhlasan parti memperjuangkan nasib rakyat dan negara; bagaimana sistem dan mekanisme sistem perlembagaan dan politik negara dapat memenuhi keperluan masyarakat dan negara serta mewujudkan budaya Politik Baharu yang menganjurkan lebih banyak partisipasi rakyat dalam dunia politik tanah air.
Ia juga meningkatkan tuntutan keperluan rakyat untuk membangkitkan aspirasi negara mengikut acuan dan keperluan rakyat berbanding keperluan politik.
Inilah yang terjadi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini.
Kita diperlihatkan bagaimana rakyat memerlukan kestabilan politik dan bukannya ‘janji-janji bulan bintang’ yang tidak memberi apa-apa makna terhadap kestabilan sosio politik dan sosio ekonomi rakyat sesebuah negeri tersebut.
Wajar juga dipelajari bahawa manifesto parti tanpa rekod pemerintahan atau pentadbiran yang menyakinkan juga menyebabkan rakyat terbelenggu dengan masalah-masalah mereka.
Kolerasi antara parti-parti politik dalam gabungan parti juga menjadi punca kenapa rakyat bertindak sama ada tidak keluar mengundi atau mengundi parti lain kerana mereka tidak berkeyakinan kolerasi antara parti politik itu boleh menyembuhkan luka sentimen perkauman yang selalu diuar-uarkan.
Kegagalan para pengundi muda untuk keluar mengundi pada kali ini yang disifatkan sangat kurang jumlahnya juga menunjukkan bahawa literasi politik dalam kalangan pengundi muda amat cetek sehinggakan mereka tidak tahu membuat pilihan mengundi calon pemimpin mereka dan kebanyakan daripada mereka juga semakin jelak dengan polemik politik atau budaya politiking yang tidak berkesudahan.
Angka-angka peratusan mengundi di kebanyakan tempat juga jelas menunjukkan ada dalam kalangan pengundi yang bertindak sabotaj parti sendiri disebabkan sentimen-sentimen negatif sesebuah parti politik.
Suara-suara daripada undi pos juga dengan jelasnya membuktikan bahawa ketidakpuasan para pengundi terhadap khidmat parti politik yang tidak bersungguh-sungguh membela nasib rakyat setempat.
Inilah fenomena yang harus kita pelajari. Kewibawaan parti politik dengan mempertaruhkan pemimpin-penimpin senior juga terancam apabila calon-calon tersebut tewas kepada calon-calon junior di kebanyakan kerusi.
Seharusnya pendekatan untuk mengurangkan politiking dan membina jaringan ukhuwah sesama parti politik, baik kerajaan atau pembangkang harus dihormati semua pihak.
Dalam hal ini, semua pihak, iaitu parti-parti dalam kerajaan mahupun pembangkang harus faham cabaran ekonomi global kali ini sangat kritikal dan boleh menyebabkan risiko peruntukan kerajaan terjejas sekiranya ia gagal memperoleh sokongan rakyat.
Seharusnya semua parti politik bersikap lebih matang, tidak menangguk di air keruh.
Sebaliknya berusaha memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara berbanding prinsip perjuangan politk kepartian yang sudah pasti akan mencetuskan polemik dan konfrantasi dalam kalangan rakyat di negara ini.
Tumpuan seharusnya kepada strategi dan bentuk tindakan yang harus diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dibuat dengan bijaksana.
Dalam hal ini semua parti harus duduk semeja, bermuhasabah dan bermuafakat untuk menyelesaikan masalah negara berkaitan dengan strategi pemulihan ekonomi rakyat yang terjejas serta mencapai persetujuan untuk memberi sokongan penuh kepada kerajaan meneruskan agenda nasional, termasuklah memastikan kemelut politik dan krisis perlembagaan tidak berpanjangan.
Barangkali ada isu yang membuatkan parti-parti politik bertelagah atau tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan sekarang, tetapi satu hal yang harus diingat bahawa kemelut ekonomi global pada ketika ini harus diberi keutamaan berbanding perebutan politik yang merugikan rakyat dan negara.
Percaturan sekarang bukanlah satu ugutan atau ancaman dalam senario politik, tetapi membina keserasian politik terutamanya dalam menghadapi ancaman gelombang ketidaktentuan dan kelesuan ekonomi global yang berlaku sekarang.
Dalam hal ini, sokongan daripada gagasan Kerajaan Perpaduan pada hari ini dilihat sudah menjelmakan satu kekuatan dalam kerajaan itu sendiri, mengetengahkan pelan dan perancangan untuk memajukan negara terutamanya menghadapi konflik dan kontroversi sosio politik yang berlaku sekarang.
Tindakan kerajaan meraih sokongan terhadap kepimpinan negara yang diterajui Kerajaan Perpaduan hari ini menunjukkan kerajaan bersedia berkorban menaruh prinsip untuk berjuang demi rakyat dan negara.
Tanggungjawab parti-parti politik seharusnya tidak lupa bahawa perjuangan menegakkan prinsip politik, imej dan reputasi parti tidak membelakangkan usaha untuk meredakan kesengsaraan rakyat menghadapi ancaman-ancaman kekusutan ekonomi global hari ini dan bukan bermain dengan strategi politik semata-mata untuk mengaburi isu-isu semasa dalam kalangan rakyat.
Saya tidak menolak bahawa gagasan Kerajaan Perpaduan boleh ke depan dan terus mengepalai kerajaan jika ia mampu untuk membuka lebih banyak ruang kerjasama domestik bersama semua parti politik di negara ini demi membantu Kerajaan menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat.
Dalam hal ini, perjuangan merebut keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap keutuhan Kerajaan Perpaduan harus diberi keutamaan di samping mempunyai niat murni menjaga kebajikan dan perpaduan saksama dalam kalangan rakyat.
Inilah waktu terbaik bagi semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang untuk memastikan rakyat tidak dibebani kemelut sosio politik, sebaliknya pemimpin perlu berganding bahu mencari jalan penyelesaian menyelesaikan isu-isu kritikal masyarakat yang terkesan teruk akibat ancaman kemelesetan ekonomi yang dihadapi.
Rakyat mahukan pembelaan dan pemeliharaan dari segi sosio ekonomi mereka, bagaimana mereka akan meneruskan kelangsungan kehidupan, bukannya memperjudikan nasib di atas senario politik tak menentu pada masa sekarang.
Penyatuan semua pihak dalam penyelesaian isu-isu domestik negara sangat bernilai untuk mengembalikan kembali tahap ekonomi di negara ini.
Gencatan politik harus dilaksanakan segera. Semua parti politik harus menggalas tenaga bersedia bekerjasama untuk melestarikan penyatuan kerjasama politik dan memberikan keyakinan kepada rakyat dan para pelabur asing bahawa mereka mampu menjelmakan keamanan dan perpaduan nasional serta membelakangkan kemelut-kemelut yang tidak memberi sumbangan berharga buat rakyat dan negara.
Gesaan penyatuan parti-parti politik untuk menghadapi ancaman dunia ini juga pernah disuarakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, ternyata merupakan tindakan bijaksana Baginda meleraikan kemelut ini.
Justeru,berakhirnya PRN dan menjelangnya bulan kemerdekaan, kerajaan diharapkan akan menampilkan lebih banyak aktiviti perpaduan yang mampu menjelmakan nilai-nilai kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff
Pensyarah kanan Komunikasi dan Media Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia