Johana melihat asrama pekerja yang padat memuatkan sehingga 120 pekerja sedangkan kelulusan diperolehi hanya untuk 80 pekerja

MELAKA – Pelan diluluskan untuk 80 pekerja, namun ‘sumbat’ sampai 120 pekerja warga Bangladesh di dalam rumah kontena termasuk mandi di kawasan terbuka dipenuhi lumut.

Itu kesalahan dilakukan majikan sebuah kilang perabot di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, hari ini apabila diserbu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka petang tadi.

Pengarahnya, Johana Bakar berkata, akibatnya pemilik asrama berkenaan dikenakan kompaun keseluruhannya berjumlah RM65,000 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

Johana Bakar

“Semakan mendapati, kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperolehi adalah untuk membina asrama yang boleh memuatkan 80 pekerja namun pemilik memuatkan sehingga 120 orang.

“Struktur asrama pula didapati tidak kukuh dan mengikut spesifikasi apabila sekadar menggunakan papan lapis sebagai lantai selain sistem pendawaian yang tidak selamat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Selain itu jelasnya, majikan juga gagal melakukan penyelenggaraan di tandas, ruang mandi dan persekitaran bangunan menyebabkan ia terdedah kepada bahaya.

“Macam di ruang mandi yang terbuka, lantainya berlumut walaupun pekerja memaklumkan ada melakukan penyelenggaraan di asrama ini yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, majikan sama pernah dikenakan kompaun RM20,000 tiga tahun lalu namun masih berdegil mengulangi kesalahan sama dengan alasan sedang membina asrama pekerja baharu,” katanya.

Johana berkata, majikan terbabit, diberi tempoh selama sebulan bermula hari ini untuk memindahkan pekerja warga Bangladesh terbabit ke asrama pekerja yang mematuhi standard di bawah Akta 446. – MalaysiaGazette