Anggota olis membuat kawalan keselamatan di pintu masuk utama balai polis bagi langkah berjaga-jaga susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2024.

SHAH ALAM – Polis mempertingkat kawalan keselamatannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di negeri itu susulan kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang datang berurusan di balai polis mahu pun IPD akan diperiksa dan dicatit butiran rentetan perkembangan terbaharu itu.

“Mereka yang datang ke balai polis semestinya ada urusan dan ini adalah langkah untuk memperketatkan kawalan keselamatan di IPD dan balai polis bukan hanya untuk anggota yang bertugas tetapi juga untuk orang awam yang datang berurusan dan IPD perlu dijamin keselamatan mereka.

“Selain itu, kita juga sedang membuat penilaian untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik sekitar IPD mahu pun balai polis di negeri ini.

“Dan perkara itu (pemasangan CCTV) perlu melalui proses perolehan seperti yang ditetapkan,” katanya ketika ditanya dalam sidang media kejayaan narkotik di ibu pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau turut diminta menjelaskan sama ada polis akan mengkaji keperluan untuk menambah bilangan anggota yang terlibat tugas kawalan keselamatan di IPD dan balai polis pada waktu malam.

Hussein menambah pertambahan bilangan anggota dan pegawai bertugas akan diteliti lebih lanjut.

“Kita akan meneliti perkara ini, anggota bertugas waktu malam juga akan dipertingkatkan bilangannya dan ini perlu agar respon pantas dapat dibuat sekiranya berlaku sesuatu perkara yang menggugat keselamatan nanti,” ujarnya.

Beliau mengulas demikian rentetan makluman Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa keselamatan akan diperketatkan pada tahap maksimum di semua lokasi berisiko iaitu balai dan IPD polis seluruh negara.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 21 tahun telah menyerang Balai Ulu Tiram, Johor sehingga mengakibatkan dua anggota polis terkorban dan seorang cedera lagi tercedera sementara suspek turut ditembak mati.

Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24 dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, terkorban dalam insiden serangan kira-kira jam 2.45 pagi.

Dalam insiden kedua di Pulau Pinang, seorang lelaki telah menceroboh dan cuba merampas senjata submesingan jenis HK MP5 milik seorang anggota polis di Balai Dato’ Keramat semalam namun gagal selepas dia berjaya ditangkap pada hari sama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast