Mohd. Nassuruddin Daud

KOTA BHARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud antara dua nama disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Kelantan baharu.

Ketua Penerangan Pas Kelantan itu merupakan wakil rakyat senior dan pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan.

Manakala seorang lagi adalah ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan.

Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan

Difahamkan dua individu berkenaan akan bergabung sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu iaitu gabungan agamawan dan teknokrat.

Menurut sumber, seorang wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut dilantik untuk  Exco pada penggal kali ini.

Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar, Timbalan dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Kelantan dijangka berlangsung di Istana Balai Besar, pada 3 petang hari ini.

Terdahulu dua nama berkenaan dipercayai dipersembahkan sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baharu kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu dengan gabungan agamawan dan teknokrat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast