Syaiful Rizal menyampaikan sumbangan BAP kepada Fatin Nur Aqilah untuk membolehkannya meneruskan pengajian ke UiTM.

KUALA KRAI – Kisah anak penoreh getah yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mendapat perhatian Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pelajar berkenaan, Fatin Nur Aqilah Mat Soom, 18, mendapat keputusan 5A tetapi tidak mampu melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) akibat desakan hidup keluarga yang untuk menampung perbelanjaan.

Namun atas dasar prihatin dengan nasib pelajar itu, YBR tampil menghulurkan sumbangan Bantuan Awal Pengajian (BAP) bagi membolehkan Fatin Nur Aqilah meneruskan pengajian ke Menara gading.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, pihaknya tampil menyantuni pelajar berkenaan untuk membantunya dari segi kewangan sebanyak RM1,000.

Katanya, dengan sumbangan itu, Fatin Nur Aqilah akan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Selangor dalam jurusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka.

“Walaupun jumlahnya kecil kita harap bantuan ini dapat digunakan sebagai permulaan memulakan pengajian atau sebagai kegunaannya menguruskan kelengkapan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian,” katanya ketika menyampaikan sumbangan di kediaman adik keluarga pelajar itu di Kampung Chuchoh Puteri dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Syaiful Rizal dan Mohamad Ghazali mengunjungi keluarga Moraini (dua dari kiri) di Kampung Chuchoh Puteri, dekat Kuala Krai semalam.

Kata Syaiful Rizal, bantuan itu diharap menjadi pembakar semangat kepada anak yatim yang kehilangan ayah sejak empat tahun lalu itu untuk belajar lebih gigih dalam meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga.

“Kami di YBR mendoakan agar segala urusan adik Fatin Nur Aqilah dan keluarga dipermudahkan dan berharap juga cabaran ini tidak menjadi penghalang kepadanya untuk mengejar cita-cita yang diimpikan.

“Semoga kisah adik Fatin Nur Aqilah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk meningkatkan momentum dalam pembelajaran serta membawa transformasi ke arah kejayaan,” katanya.

Sementara itu, ibu pelajar itu, Moraini Ismail, 52, mengucapkan terima kasih kepada YBR kerana telah memberikan bantuan kepada anaknya untuk meneruskan pengajian di IPT.

Ibu kepada empat anak itu juga menyatakan, bantuan berkenaan dapat mengurangkan beban tanggungan kewangan yang dihadapi sejak kehilangan suami.

Dalam pada itu, kata Syaiful Rizal, YBR telah memperuntukan kira-kira RM6.02 juta BAP sehingga tahun lalu, yang memberi manfaat kepada 6,261 pelajar IPT di seluruh negara.

Katanya, tahun lalu, YBR memperuntukan kira-kira RM500,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast