Situasi terkini berhampiran kawasan pesawat terhempas di sekitar bandar Elmina, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dipercayai antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) berhampiran kawasan perumahan di Bandar Elmina, Shah Alam petang tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku  sekitar jam 2.40 petang tadi.

Pesawat jenis Beachcraft itu membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.

“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Pulau Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan Trafik Udara, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

“Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal,” katanya dalam sidang media khas di lokasi kejadian tersebut.

Beliau juga menambah, seorang penunggang motosikal dan juga pemandu kereta termasuk 10 mangsa terkorban dan kesemua mangsa merupakan lelaki warga tempatan.

Tambah Hussein, buat masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban dalam tragedi ngeri tersebut dan jarak udara kedudukan lokasi terhempas dengan LTSAAS sekurang-kurangnya 1.5 kilometer.

Menurutnya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, yang bergegas ke lokasi sejurus selepas panggilan mengenai insiden terhempas telah mengambil masa hampir 10 minit bagi memadam kebakaran dan mengawal keadaan.

“Kini, mayat kesemua mangsa terkorban dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk menjalani proses bedah siasat,” ujarnya.-MalaysiaGazette