Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Haji Azam bin Baki hadir ke Forum Eksekutif Merdeka Tadbir Urus Dalam Sektor Awam di Aras 1, Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – “Balik sahaja.”

Itu jawapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung kenyataan peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat yang mendakwa ‘dianiaya’ agensi penguatkuasa rasuah itu dan enggan kembali ke tanah air.

Azam berkata, Mansoor dan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan tidak perlu memberikan pelbagai alasan sebaliknya pulang segera ke tanah air.

“Kamu balik sahaja dan hadapi siasatan kami jadi banyak bagi alasan, saya tidak mahu dengar.

“Mungkin cakap saya yang orang tak suka, tapi itulah saya.

“Kamu berdua balik sahaja ke Malaysia dan jangan berikan alasan,” katanya kepada media selepas menghadiri Forum Eksekutif Merdeka Tadbir Urus Terbaik dalam Sektor Awam di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Terdahulu hari ini, Mansoor Saat, yang dicari SPRM, menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

Mansoor, 69, menegaskan beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri, selain sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

Katanya, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.

Artikel berkaitan: Saya bukan melarikan diri – Mansoor Saat

“Saya meninggalkan Malaysia pada pertengahan Mei atas urusan perniagaan. Saya kemudian dihubungi oleh pegawai penyiasat SPRM dan memberi maklum balas melalui surat bertarikh 3 Jun 2023 bahawa saya akan kembali selepas menyelesaikan urusan perniagaan.

“Bagaimanapun, pegawai penyiasat SPRM menggesa saya pulang segera ketika kemuncak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya memaklumkan ada urusan yang belum selesai dan akan pulang dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Adlan dilapor berkata tidak pernah ditangkap atau dihubungi SPRM selepas didakwa melarikan diri ke luar negara dan dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki agensi itu.

Semakan rekod mendapati Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dengan tiada rekod kembali ke tanah air.

SPRM sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengesan kedua-duanya bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. SPRM PDRM INTERPOL PUN TIDAK BOLEH JEJAK JHLOW HINGGA KINI….TIADA SUARA PUN BALIK DULULAH JHLOW ….ADA TANGAN2 GHAIB atau SANDIWARA TERPILIH

  2. Haaa balik je laaa…lepas tu hire laa peguam yg handal2..bayar jaa..Muhyidin kan banyak duit…tak de masalah…kalau tak salah..sure mahkamah akan bebaskan..bukan SPRM yg tentukan kamu bersalah ke tidak..lain laa kalau ko tu nak ditahan bawah ISA kaa mcm Medey dulu…banyak alasan plak

Comments are closed.