SHAH ALAM – Pasukan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pakar penerbangan dari negara Amerika Syarikat (AS) akan membantu siasatan nahas pesawat persendirian jenis Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas Khamis lalu di Persiaran Elmina di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pasukan berkenaan akan memulakan penyiasatan pada Isnin ini.
“Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara dan juga pakar penerbangan khusus dalam penyiasatan kemalangan pesawat udara dari Amerika Syarikat akan turun Isnin ini untuk memeriksa bangkai pesawat yang nahas itu bagi mengenalpasti punca nahas berlaku.
“Bagi pihak kami, polis telah selesai mengumpul dan mengeluarkan segala cebisan mayat mangsa dan barangan peribadi mereka dari lokasi nahas itu.
“Malah, perakam suara kokpit atau The cockpit voice recorder (CVR) juga sudah ditemui dan diambil dari tempat pesawat terhempas dan segala bukti di lokasi kejadian sudah diperolehi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama Mohd Iqbal menambah, segala bangkai besar pesawat nahas yang masih berada di lokasi akan dikawal rapi oleh polis selama 24 jam mengelak diceroboh dan diganggu orang awam.
“Kita sudah menutup lokasi serpihan bangkai pesawat itu dengan kanvas gergasi dari pandangan umum di tepi jalan Persiaran Elmina 8 itu dan bahan bukti tragedi itu akan dikawal rapi 24 jam oleh polis sehingga pasukan penyiasat dan pakar penerbangan dari AS tiba ke lokasi nahas untuk penyiasatan pada Isnin nanti,” tegasnya.
Beliau juga meminta kerjasama orang awam di kawasan perumahan itu agar memahami situasi dan sensitiviti tragedi nahas itu dengan tidak menceroboh kawasan larangan itu sebagai membantu siasatan.
Dalam kejadian petang Khamis lalu pesawat yang membawa enam penumpang termasuk orang kenamaan yang merupakan exco Pahang Datuk Seri Johari Harun terhempas dan meletup jam 2.48 petang kira-kira 1.5 kilometer dari Lapangan Terbang Subang.
10 orang termasuk seorang penunggang motosikal dan pemandu ehailing terkorban damam insiden menyayat hati itu.-MalaysiaGazette