KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM1,500 daripada seorang pemilik rumah sebagai balasan tidak mengeluarkan saman ke atas kesalahan mencuri bekalan elektrik ditahan reman selama enam hari.

Menurut kenyataan SPRM, perintah berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ariff Danial Shah Shahril Nor di Mahkamah Majistret 6, Kompleks Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

Suruhanjaya berkenaan berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 20an itu merupakan kakitangan syarikat vendor kepada sebuah syarikat utiliti tenaga elektrik.

Suspek disyaki menghubungi seorang lelaki yang menyatakan meter di rumahnya telah terlibat dengan kecurian elektrik dan boleh dikenakan denda sebanyak RM16,000.

“Sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang denda, suspek telah meminta wang sebanyak RM1,500.  Bagaimanapun suspek telah menerima RM1,000 setelah lelaki terlibat meminta agar nilai sogokan tersebut dikurangkan,” kata SPRM menerusi kenyataan.

Suspek ditahan SPrm di sebuah pangsapuri di Klang pada jam 5.30 petang semalam..

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette