Program Jualan Rahmah Bergerak pertama yang diadakan di Pahang, berada di perkarangan Masjid Al-Mustaghfirin, Batu 3 1/2, Kuantan

KUANTAN – “Kalau boleh buat sebulan sekali Jualan Rahmah ni,” demikian kata Siti Samiah Shaik Ahmad, 49 berkenaan Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak di Masjid Al-Mustaghfirin (Masjid Baru Batu 3 1/2), di sini, hari ini.

Siti Samiah hadir sejak pukul 9.30 pagi tadi untuk beratur kerana teruja untuk membeli barangan keperluan yang dijual lebih murah menerusi PJR bergerak yang pertama kali diadakan di negeri ini.

“Tapi memandangkan ramai yang datang, saya rasa elok kalau lain kali buat konsep beratur dan bayar. Sebab ramai yang isi borang pembelian dan balik ke rumah dahulu sementara menunggu giliran,” luahnya.

Siti Samiah Shaik Ahmad

Begitu juga dengan Sakinah Sidek, 40 yang tiba lebih awal pada pukul 9 pagi untuk membeli barangan keperluan keluarganya yang menetap di Kampung Belukar.

Menerusi PJR bergerak ini, katanya, lebih mudah bagi golongan B40 untuk membeli barangan disubsidikan seperti ayam, minyak masak, beras import dan susu berbanding PJR di Pasar Raya.

“Bagus juga kalau lori ni bergerak ke kawasan luar bandar, tapi di bandar pun ramai orang susah. Berbanding Jualan Rahmah di pasar raya, saya lagi suka jualan macam ni,” katanya.

Sakinah Sidek

Menurut Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pahang, Fatin Najuwa Ahmad Hasbullah, Jualan Rahmah Bergerak pertama kali diadakan di Pahang hari ini.

Namun, katanya, siri jelajah Program Jualan Rahmah Bergerak ini akan ke Dewan Felda Panching Timur pula esok pada waktu sama.

“Kita bermula pukul 9 pagi sehingga 1 tengah hari dengan sasaran kuantiti penjualan untuk 500 orang pembeli.

“Sambutan memang amat menggalakkan, ramai yang suka konsep kedai cari rakyat macam ni sebab senang nak membeli barang keperluan asas,” katanya ketika ditemui di sini.

Fatin Najuwa Ahmad Hasbullah

Difahamkan sebanyak 13 barangan yang disubsidikan seperti ayam, beras import, minyak masak, susu dan lain-lain dijual pada harga lebih murah sehingga 30% berbanding harga pasaran dalam PJR Bergerak ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast