KLANG – Proses bedah siasat melibatkan kesemua 10 mangsa yang terkorban dalam dalam nahas pesawat ringan di Shah Alam selesai malam semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 30 pegawai patologi dan forensik terbabit dalam proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan kini proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan Jabatan Kimia
“Semalam kita sudah mendapat satu padanan DNA yang positif milik penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, dan jenazah diserahkan kepada warisnya pada pagi ini untuk dikebumikan di Sungai Jerong, Kampung Sidam Kedah hari ini.
“Bagaimanapun, urusan pemadanan DNA melibatkan 300 cebisan anggota badan baki sembilan mayat mangsa terkorban masih sedang diusahakan oleh Jabatan Kimia untuk melengkapkan padanan DNA baki sembilan mangsa terkorban lagi,” katanya di hadapan Jabatan Forensik HTAR, hari ini.
Tambah beliau, kini padanan DNA telah 30 peratus selesai dan beliau yakin proses tersebut selesai sepenuhnya pada Isnin ini.
“Kita percaya akan dapat keputusan padanan DNA untuk mangsa yang lain hari ini tetapi itupun bergantung kepada keadaan sampel itu agar dalam keadaan baik dan tidak reput. Kita juga berjaya mengenalpasti lapan cap jari mangsa nahas pesawat itu.
“Polis menggunakan tiga kaedah untuk menentukan identiti si mati iaitu cap jari, padanan DNA dan gigi yang mana jika salah satunya boleh dipadankan ia boleh membantu memudahkan pengecaman dan urusan keluarga mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, terdapat cebisan-cebisan mayat yang terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA dan berharap waris mangsa nahas berkenaan dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak.
Jelas beliau, pihaknya tidak boleh tergesa-gesa dan waris perlu bersabar kerana padanan proses DNA yang rumit dan sensitif serta memerlukan masa bagi menyelesaikannya.
“Kalau selepas ini ada sebarang keputusan padanan DNA dan mayat dikenalpasti identitinya dan diterima hari ini maka kita akan membenarkan mayat dituntut oleh waris pada pagi esok,” katanya. – MalaysiaGazette