KUALA LUMPUR – Rata-rata netizen berpandangan, siasatan berhubung kesahihan memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bocor baru-baru ini dapat memberi keadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pemilik akaun Facebook ‘Mzul Mk’ percaya, tindakan itu juga merupakan cara untuk melembutkan hati rakyat terutamanya mereka yang masih mengenang jasa Najib untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan akan diangkat menjadi hero di mata penyokong Bossku,” katanya melalui ruangan komen dalam laman Facebook milik Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Dr Akmal dalam hantaran Facebook malam tadi mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ oleh pasukan pendakwaan dalam kes International Petroleum Investment Company (IPIC) yang tular baru-baru ini.
Beliau berkata, sekiranya sahih dokumen yang tular tersebut adalah benar, Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik balik enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Abdullah.
Kelmarin, Idrus berkata, AGC sedang menyiasat dakwaan kebocoran dokumen berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dana kerajaan membabitkan pembayaran kepada IPIC.
Dokumen yang mengandungi 12 muka surat itu didakwa ditujukan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook ‘Jerung Merah’ berharap agar keadilan diberikan kepada Najib yang juga popular dengan gelaran Bossku.
Dia berpendapat, ‘nyawa’ UMNO ketika ini adalah bergantung kepada nasib Najib.
“Jika berterusan beliau seperti keseorangan, UMNO akan terus karam,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik akaun ‘Jaafar Albar’ mengucapkan syabas kepada Dr Akmal kerana mengambil tindakan yang sekian lama dinanti-nantikan oleh ahli-ahli UMNO dan penyokong Najib.
Namun, pada masa yang sama, dia mempersoalkan mengapa pemimpin-pemimpin UMNO yang lain masih membisu berhubung usaha mendapatkan keadilan bagi Najib. – MalaysiaGazette