SEPANG – Jenazah juruterbang nahas pesawat di Elmina, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim tiba di rumah keluarganya di Desa Pinggiran Putra, Sepang kira-kira pukul 1.20 petang hari ini.
Suasana hiba menyelubungi perkarangan rumah sebaik jenazah tiba.
“Abang Heikal sudah sampai,” kata seorang yang dipercayai adalah adik kepada allahyarham.
Sebaik tiba, jenazah dibawa masuk ke dalam rumah untuk solat jenazah.
Solat jenazah diimamkan abang sulung allahyarham, Hussein Aras, 46.
Turut kelihatan anak allahyarham iaitu Suri Balqish dan Rafael Dzulqairy.
Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya untuk dikebumikan.
Pada Khamis, sebuah pesawat persendirian terhempas di Elmina dekat Denai Alam, Shah Alam.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pada pukul 2.08 petang, dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Seramai 10 individu termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun maut dalam nahas tersebut.
Johari adalah antara lapan individu yang berada dalam pesawat berkenaan.
Dua mangsa lain yang terbabit adalah seorang penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta. – MalaysiaGazette