Muhammmad Hafiz Naquiddin ketika membacakan talkin.

GOMBAK – Suasana Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Batu Caves di sini terasa pilu apabila anak Allahyaham Datuk Seri Johari Harun sebak ketika membacakan talkin untuk ayahnya.

Suara anak ketiga daripada lima beradik, Muhammmad Hafiz Naquiddin, 22 kedengaran tersekat-sekat setiap kali menyebut “ayahku” di dalam bacaan talkin.

Nada yang hiba berkenaan menyebabkan ada antara lebih daripada 500 orang yang hadir menitiskan air mata.

“Perasaan seorang anak kehilangan seorang ayah. Umum mengetahui macam mana perasaan kehilangan ayah.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia doakan kepada Allahyarham Johari Harun semoga Allah mengurniakan darjat yang tinggi kepada beliau dan dimasukkan ke dalam syurga,” kata Muhammmad Hafiz.

Beliau merupakan bekas pelajar tahfiz dan kini menyambung pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Menurut beliau, ayahnya yang memintanya untuk mempelajari bidang agama dan mahu dia meneruskan pelajaran di kolej universiti itu.

Tambah beliau, ayahnya sering mengingatkan dirinya untuk tidak meninggalkan solat selain sentiasa berkelakuan baik.

“Ayah seorang yang dermawan, mudah mesra dan mudah didekati oleh rakyat. Semua orang ada saat nostalgia dengan ayah, saya tak rasa ingin kongsi cumanya seluruh 22 tahun ada perasaan gembira, sedih.

“Syukur segala urusan dipermudahkan dan urusan pengebumian dicepatkan,” katanya yang ditemui selepas majlis pengebumian selesai.

Empat anak Johari yang lain adalah Muhammad Syafieq Hafizielman, Siti Amira Nur Syafiqah, Muhammmad Hafiz Naquiddin dan Muhammad Nadif Aisar.

Allahyarham turut meninggalkan seorang balu, Datin Seri Maziah Samsudin.

Turut hadir adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.05 tengah hari.

Johari antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV yang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor, 2.51 petang pada Khamis lalu.- MalaysiaGazette