SHAH ALAM – Beberapa penyokong dan pemimpin PKR tampil melahirkan harapan supaya Exco Selangor dipilih dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR berketurunan India bagi mewakili suara komuniti tersebut.
Sejak dua penggal kebelakangan ini, jawatan Exco hanya diberikan kepada wakil India DAP walaupun ada calon PKR yang menang di Selangor.
Menurut Ketua Penerangan Cabang Kota Raja, Roy S Nyaneswaran, parti itu banyak mendapat sokongan tidak berbelah bahagi dalam kalangan masyarakat India setiap kali pilihan raya dengan harapan ada wakil mewakili suara serta perjuangan mereka.
Kata Roy, sebelum ini ketika kali pertama kerajaan negeri dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) memang ada wakil PKR India yang diberikan jawatan Exco dengan perhatian dan fokus khusus telah diberikan untuk menangani isu-isu berkaitan kaum itu pada 2008.
“Selepas itu, kita tidak ada wakil India mewakili PKR lagi. Kita merayu dan berharap Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi pertimbangan sewajarnya.
“Sepatutnya pada tahun ini, kita diberikan jaminan jawatan ini diserahkan kepada PKR semula, bagaimanapun sumber baru-baru ini memberitahu janji ini mungkin tidak dipenuhi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
MalaysiaGazette dalam laporan semalam yang memetik sumber tertinggi parti mendedahkan seorang wakil India yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan diberikan jawatan Exco dan ia dipercayai akan diberikan kepada calon DAP, Papparaidu Veraman (ADUN Banting).
Kata Roy, gabungan PH diyakini dapat mengembalikan semula jawatan itu kepada ADUN PKR dalam kalangan kaum India.
“Untuk makluman anda, ketika ini kita mempunyai sembilan pemimpin Ketua Cabang PKR India di Selangor dan ini jelas terbukti sokongan masyarakat ini kepada PKR kuat.
“Kami setulus hati mencadangkan ADUN Sentosa, Dr Gunaraj George sebagai calon bagi mengisi kekosongan Exco berkenaan. Beliau telah mendapat majoriti undian 46,000 dan tertinggi dalam kalangan pemimpin PKR dan ADUN India di Selangor.
“Rekod prestasi beliau mengagumkan dalam kepimpinan selain berkesan dalam perkhidmatan awam serta berdedikasi seterusnya membuktikan kesesuaiannya untuk peranan ini,” ujarnya.
Kata Roy lagi, Dr Gunaraj juga menunjukkan prestasi cemerlang sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor dalam menyelesaikan pelbagai hal ehwal masyarakat india seperti isu tanah, kuil dan sebagainya.
“Kita dapati adanya kemerosotan sokongan masyarakat India dalam PRN, kita perlu seorang wakil yang bukan sahaja menjadi pemimpin berjuang untuk kebajikan dan pemerkasaan masyarakat tetapi juga memastikan segala isu menyelubungi komuniti diselesaikan,” tegasnya.
Pada PRU ke-12, Dr Xavier Jeyakumar telah dilantik sebagai Exco namun pada PRU 2023, ADUN Kota Kemuning dari DAP, V. Ganabatirau dilantik menggantikan selama dua penggal manakala Jeyakumar bertanding peringkat Persekutuan sebelum dilantik menjadi menteri.
Seramai empat calon India dari PH memenangi kerusi masing-masing dalam PRN lalu iaitu Rajiv Rishyakaran (DAP – Bukit Gasing), Preakas Sampunathan (DAP – Kota Kemuning), Papparaidu Veraman (DAP – Banting) dan Gunaraj George (PKR – Sentosa). -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bising sangat India PKR ni, apalah perlu sangat pangkat itu sedangkan satu GABUNGAN, kerja lah baik-baik sebagai ADUN ini macam nak SAKAU je…