Menteri Besar Caretaker Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tiba di Istana Bukit Kayangan Sultan Selangor pada jam 2.34 petang untuk menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Kayangan, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM,17 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Hampir pasti Datuk Seri Amirudin Shari akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada Isnin ini.

Menurut sumber tertinggi, selepas Amirudin terima menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini, petang semalam semuanya telah berjalan dengan ‘positif’.

“Untuk lima tahun akan datang, Insyaallah untuk penggal ini Datuk Seri Amirudin akan terus menerajui kerajaan negeri bersama barisan exco terbaik.

“Kita telah dapat perkenan termasuklah senarai calon-calon Exco. Setakat ini, jika tidak ada apa-apa aral maknanya seramai lapan Exco Melayu termasuklah Menteri Besar, dua Cina dan satu wakil India.

“PKR mempunyai tiga Exco dengan jawatan Menteri Besar dan juga satu Timbalan Menteri manakala DAP pula empat Exco di tambah satu jawatan Speaker manakala calon BN yang menang datu satu jawatan Exco dan Amanah dapat dua,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette.

Difahamkan juga, wakil tunggal kaum India yang sebelum ini di war-warkan akan diberikan kepada calon PKR, C Gunaraj yang menang kerusi DUN Sentosa namun kini difahamkan jawatan Exco itu diberikan kepada calon DAP, Papparaidu Veraman (DUN Banting).

Selain itu, satu lagi ‘kejutan’ difahamkan kepada MalaysiaGazette, jawatan Exco akan diberikan kepada calon BN yang pernah menjadi Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail (Sungai Air Tawar).

Sebelum ini khabar angin kencang Datuk Johan Abd Aziz yang menang kerusi Dusun Tua bakal dilantik Exco.

Hari ini, kenyataan oleh Istana Selangor telah memaklumkan Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Meteri Besarpada hari Isnin di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada jam 11 pagi.

Sementara itu, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Selangor juga akan berlangsung pada hari sama jam jam 2 petang.

Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Jumlah 34 kerusi itu diperoleh menerusi DAP sebanyak 15 kerusi, PKR pula 12 kerusi, Amanah lima kerusi, BN dua kerusi manakala PN menang 22 kerusi menerusi Bersatu sebanyak 12 kerusi dan Pas 10 kerusi. -MalaysiaGazette