Anak, Daniel Zulqarnain meratapi jenazah ayahnya yang juga juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim yang terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam untuk disembahyangkan di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Juruterbang, Heikal Aras Abdul Azim, 45, menjadikan watak popular Han Solo dalam siri filem Star Wars sebagai idola sejak kecil sehingga menceburi bidang penerbangan, kata abangnya, Husnein Aras Abdul Azim.

Malah minat itu juga terserlah pada anak sulung Heikal berusia 13 tahun yang meminati model kapal terbang.

“Arwah adalah anak kedua daripada lima beradik dan sejak dari kecil impiannya mahu menjadi juruterbang. Malah dua adik kami turut mengikut jejak langkahnya menjadi juruterbang.

“Kini minat itu boleh dilihat pada anak sulung arwah, Daniel Zulqarnain kerana dia sering membina model kapal terbang daripada kadbod” katanya ketika ditemui di Tanah Perkubuhan Islam Presint 20 sejurus majlis pengebumian Heikal Aras di sini hari ini.

Anak, Daniel Zulqarnain menyiram air diatas pusara ayahnya yang juga juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim yang terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam di Tahah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2023.

Husnein turut menambah, Heikal merupakan seorang adik dan anak yang baik dan sentiasa mengukir senyuman walaupun berdepan masalah.

Katanya, hubungan arwah dengan adik beradiknya juga amat baik kerana sudah dididik untuk sentiasa menghormati antara satu sama lain.

“Pemergian arwah memang menjadi satu kehilangan besar kepada kami sekeluarga kerana kami rapat. Kalau diikutkan, saya yang patut ‘pergi’ dahulu sebab saya lebih tua tetapi aturan Allah itu adalah lebih baik.

“Sebab itu saya katakan pemergian arwah adalah kematian yang amat dicemburui. Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini,” katanya lagi.

Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim antara 10 korban dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Jenazah merupakan pembantu juruterbang yang disahkan maut bersama seorang lagi juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam.

Dalam kejadian pukul 2.40 petang Khamis lalu, 10 individu termasuk Exco  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun terkorban setelah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang itu terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian. – MalaysiaGazette