Anak, Rafael Dzulqairy menabur bunga mawar diatas pusara ayahnya yang juga juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim yang terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam di Tahah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Jenazah juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 45, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20 di sini pukul 2.20 petang hari ini.

Pengebumian arwah dihadiri termasuk ibu dan bapa arwah, Abdul Azim Aras, 76, dan Noorhizan Mohd Salleh, 68, serta tiga anak arwah, Daniel Zulqarnain, 13, Suri Balqish Heikal, 10, dan Rafael Dzulqairy, 9.

Upacara talkin disempurnakan oleh Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Muhammad Rafuwan Putra Affendi.

Kira-kira 100 orang termasuk sanak saudara dan kenalan arwah hadir pada majlis pengebumian itu sebagai tanda penghormatan terakhir buat juruterbang berkenaan.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya di Desa Pinggiran Putra, Sepang sejurus azan Zohor tadi dan kemudiannya disembahyangkan.

Satu majlis tahlil turut diadakan di perkarangan kediaman arwah sementara menunggu ketibaan jenazah.

Jenazah di bawa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kira-kira 11 pagi tadi sebelum di bawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang untuk disembahyangkan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Abang Heikal dah sampai’ – Adik mangsa