BENTONG – Jenazah Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, – salah seorang  mangsa terbabit nahas pesawat terhempas di Shah Alam pada Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak, Benus dekat Bentong pukul 3.20 petang hari ini.

Terdahulu jenazah pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang itu tiba di Masjid Tengku Sulaiman Ketari pukul 2 petang untuk disolatkan.

Allahyarham diimamkan abangnya Edzuan Abdol Talib @ Ramali dan disembahyangkan kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Tengku Sulaiman Ketari di Bentong.

Hadir sama Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alaudin, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.

Allahyarham salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Elmina Central Park, Seksyen U16, dekat Shah Alam.

Insiden petang Khamis itu menyaksikan pesawat yang sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.48 petang dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

Antara yang terkorban Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, dua juruterbang iaitu Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta penumpang lain, Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, dua lagi orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta e-hailing.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Adlina Aishah Ahmad Rusli, 41, dan tiga orang anak masing-masing berusia 56 hari, 10 tahun serta 14 tahun.

Dilahirkan pada 29 November 1982, Allahyarham dikenali Ustaz Deris adalah pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa.

Difahamkam allahyarham bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun. – MalaysiaGazette